2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-11-06 at 9.30.35 AM
Info Semasa

Israel memperhebatkan pengeboman di sekitar hospital – Hamas

SEMENANJUNG GAZA: Kerajaan Hamas di Gaza mendakwa tentera Israel memperhebatkan pengeboman menyasarkan beberapa hospital di utara Semenanjung Gaza petang semalam, sejurus selepas telekomunikasi dimatikan.

Menurut kenyataan Ketua Pejabat Media Kerajaan Hamas, Salama Marouf yang dipetik dari Berita Harian, selama lebih sejam, pengeboman hebat berlaku beberapa kawasan sekitar hospital.

Menurutnya, kawasan sekitar hospital terbesar wilayah Palestin, Al-Shifa, menjadi sasaran serangan pengeboman bertubi-tubi.

Pengeboman itu dilakukan selepas regim Zionis itu sekali lagi mendakwa Hamas menggunakan hospital dalam kempen ketenteraan mereka terhadap tentera Israel.

“Hamas meletakkan pasukan dan senjata di dalam, di bawah dan di sekitar sekolah, masjid, rumah serta kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, kepada pemberita.

Menerusi sidang akhbar itu, Hagari memaparkan imej yang dikatakannya menunjukkan pejuang Hamas melepaskan tembakan dari hospital Gaza dan satu lagi menunjukkan tapak pelancaran peluru berpandu yang hanya terletak kira-kira 75 meter dari hospital.

“Antara jenayah perang yang paling teruk dilakukan Hamas ialah menggunakan hospital untuk menyembunyikan infrastruktur keganasan mereka,” katanya.

Hamas bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan itu dan awal pagi semalam mengatakan pihaknya terbuka untuk membenarkan pemantau antarabangsa memeriksa hospital untuk mengesan tanda-tanda penggunaan oleh pejuang.

Israel tidak henti-henti menyerang Semenanjung Gaza yang terkepung sepenuhnya dalam pertempurannya untuk memusnahkan Hamas, hingga serangan itu meratakan seluruh blok bandar dan membunuh lebih 9,700 orang.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Serangan ke atas Gaza berlaku selepas pejuang Hamas menyerbu sempadan pada 7 Oktober dan membunuh 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, kata pihak berkuasa Israel.