2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-09-20 at 11.22.18 AM
Info Semasa

Tentera Israel bunuh 3 rakyat Palestin di Tebing Barat, seorang di Gaza

RAMALLAH, WILAYAH PALESTIN: Tentera Israel semalam membunuh tiga rakyat Palestin ketika serbuan dengan bantuan dron ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki, manakala pertempuran sempadan di Gaza menyebabkan seorang maut.

Menurut Berita Harian menyatakan bahawa pihak Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan tiga orang syahid di Jenin, kubu kuat kumpulan bersenjata Palestin dan kira-kira 30 individu cedera akibat tembakan Israel.

Tentera Israel mengesahkan tentera beroperasi di Jenin pada petang semalam dengan bantuan dron tanpa mengulas lanjut.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata tentera terbabit dalam operasi yang didakwa perlu untuk menggagalkan aktiviti pengganas.

Timbalan Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub, berkata tentera Israel menyasarkan sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat persembunyian oleh warga Palestin yang dikehendaki.

Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967 dan tenteranya kerap melakukan pencerobohan ke kawasan-kawasan seperti Jenin dan kem pelarian bersebelahannya yang secara nominal berada di bawah kawalan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin.

Pada Julai, tentera melakukan serbuan terbesar dalam beberapa tahun ke atas kem Jenin, yang mana 13 rakyat Palestin termasuk pejuang dan kanak-kanak terbunuh.

Seorang askar maut ketika serbuan itu, juga oleh tembakan Israel “berikut insiden pengecaman yang salah”, kata tentera pada masa itu.

Keganasan yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin meningkat sejak awal tahun lalu, khususnya di Tebing Barat.

Sekurang-kurangnya 236 rakyat Palestin terbunuh setakat tahun ini dalam insiden yang dikaitkan dengan konflik itu.

Pertumpahan darah itu juga menyaksikan 32 warga Israel, seorang Ukraine dan seorang Itali terbunuh dalam tempoh yang sama, menurut pengiraan AFP berdasarkan sumber rasmi kedua-dua pihak.

Mereka termasuk, di pihak Palestin, pejuang serta orang awam dan, di pihak Israel, tiga anggota minoriti Arab.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pertempuran antara rakyat Palestin dan tentera Israel juga meletus di sepanjang sempadan Semenanjung Gaza.

Semalam seorang warga Palestin terbunuh oleh “peluru pendudukan (Israel),”, kata Kementerian Kesihatan di Gaza, yang dikawal oleh gerakan Islam Hamas.

Tentera Israel berkata ratusan individu yang didakwanya sebagai perusuh berkumpul berhampiran pagar sempadan dan “beberapa alat letupan telah diaktifkan.”

“Askar IDF (tentera) beroperasi di kawasan itu dengan cara menyuraikan rusuhan dan tembakan penembak tepat. Beberapa tembakan dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertempuran di Gaza susulan pengumuman Israel lewat Ahad bahawa ia akan menutup lintasan utama Erez berikutan “penilaian keselamatan.”

“Pembukaan semula lintasan akan tertakluk kepada penilaian berterusan berdasarkan situasi yang berkembang di rantau ini,” kata COGAT, unit kementerian pertahanan Israel yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal awam Palestin.

Ribuan pekerja Palestin dari Gaza disekat daripada memasuki Israel kerana penutupan yang dikecam NGO Israel, Gisha sebagai “hukuman kolektif.”

Israel mengeluarkan permit kerja kepada kira-kira 18,500 warga Gaza, kata COGAT semalam.

Penutupan itu memudaratkan pekerja Gaza dan keluarga mereka, serta pemegang permit lain yang perlu melakukan perjalanan untuk keperluan kemanusiaan,” kata Gisha dalam satu kenyataan.