2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-09-19 at 12.08.15 PM
Info Semasa

Sekatan Israel halang akses rakyat Palestin terhadap penjagaan kesihatan – Bank Dunia

BAITULMAQDIS: Sekatan Israel dan peningkatan kekangan fiskal di wilayah Palestin memberi kesan yang teruk kepada keadaan ekonomi rakyat Palestin, malah ia menghalang akses mereka penjagaan kesihatan yang amat diperlukan.

Berita Harian yang memetik laporan bertajuk ‘Berlumba Dengan Masa’, Bank Dunia menyatakan bahawa secara keseluruhan, ekonomi Palestin berada di bawah paras yang diharapkan dengan pendapatan per kapita dijangka terbantut.

Kemiskinan di wilayah Palestin semakin meningkat dengan satu daripada empat rakyat di situ hidup di bawah paras kemiskinan, kata pemberi pinjaman global yang berpangkalan di Washington itu.

Menurut laporan itu, sekatan Israel terhadap pergerakan dan perdagangan di Tebing Barat yang diduduki, sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza dan jurang pemisah di antara dua wilayah Palestin adalah antara beberapa faktor yang meletakkan ekonomi Palestin pada risiko tinggi.

“Kekangan fiskal sangat membebankan sistem kesihatan Palestin terutama keupayaannya untuk menangani beban penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat,” kata Pengarah Bank Dunia untuk Tebing Barat dan Gaza dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama laporan itu.

Sekatan yang dikenakan termasuk ‘birokrasi untuk mendapatkan permit yang mengambil masa lama’, ia sering menyukarkan penyediaan penjagaan kesihatan dalam usaha menyelamatkan nyawa rakyat Palestin, tepat pada masanya.

Tambah kenyataan itu, akses kepada rujukan perubatan luar untuk rawatan kanser, penyakit jantung dan bagi kelahiran untuk ibu dan bayi terjejas dengan ketara disebabkan kekangan fizikal dan pentadbiran.

“Keadaan ini amat kritikal di Gaza yang berdepan kapasiti sistem kesihatan yang lebih terhad dan di mana pesakit bergelut untuk mendapatkan permohonan permit keluar perubatan yang diperlukan tepat pada masanya.

“Angka penyelidikan menunjukkan bahawa sekatan berdekatan Gaza telah mengakibatkan kematian kerana sesetengah pesakit tidak dapat bertahan dalam tempoh permit sedang diproses,” katanya.