2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-09-21 at 3.24.15 PM
Info Semasa

Hujan lebat rosakkan kem pelarian di Yaman

SANAA: Hujan lebat yang melanda Hodeidah di wilayah barat Yaman pada minggu lepas menyebabkan kem perlindungan yang menempatkan lebih 900 pelarian rosak.

Berita Harian memetik kenyataan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) pada Isnin lalu, menyatakan pertubuhan itu memberi bantuan kecemasan kepada lebih 135 keluarga dan sedang membantu 125 keluarga lagi untuk membaiki rumah mereka yang rosak.

Menurut angka IOM, sejumlah 4,311 keluarga atau 25,866 individu telah dipindahkan dari 1 Januari hingga 16 September tahun ini ke pelbagai kem penempatan.

Dalam laporan baru-baru ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, bahaya bencana alam semula jadi yang berkaitan perubahan iklim memburukkan lagi krisis kemanusiaan di negara yang dilanda perang itu.

Dalam masa yang sama, PBB turut menyatakan bahawa cuaca ekstrem itu memusnahkan infrastruktur Yaman dan meningkatkan ketakjaminan makanan dan mata pencarian penduduk.

Yaman dibelenggu perang saudara sejak akhir 2014 apabila puak Houthi yang disokong Iran, menguasai beberapa wilayah utara.

Peperangan yang berterusan menyebabkan kematian berpuluh ribu orang, manakala empat juta rakyat hilang tempat tinggal.