2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-11-21 at 10.27.42 AM (1)
Info Semasa

Tembelang Israel terdedah, dunia terus bersatu sokong Palestin

PERANG di Gaza sudah melebihi sebulan dan Israel kini semakin tertekan kerana masyarakat seluruh dunia semakin muak serta jelak dengan penipuan picisan mereka dalam memberi gambaran situasi sebenar berlaku di wilayah berkenaan.

Apa yang pasti, masyarakat seluruh dunia bertungkus-lumus mendedahkan setiap penipuan Israel menggunakan fakta terkini di pelbagai medium media sosial ketika rejim Zionis memberi naratif berbeza menerusi media dikuasai mereka bagi menghalalkan serangan terhadap orang awam Gaza.

Walaupun belum ada perubahan besar dari segi dasar dan politik untuk menamatkan perang di Gaza, pihak mempertahankan Israel, sama ada negara atau pemimpin semakin tersepit dengan realiti serta perkara sebenar berlaku dalam perang Israel-Palestin.

Akibat protes awam yang tidak surut mendesak perang di Palestin ditamatkan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada minggu lalu mengubah pendirian beliau dengan menyeru supaya gencatan senjata perlu segera dilaksanakan di Gaza.

Sementara itu, protes dizahirkan kumpulan pro-Israel di Washington juga gagal menarik penyokong, sebaliknya tunjuk perasaan memihak kepada Palestin semakin marak di bandar utama Amerika Syarikat (AS).

Terkini, Menteri Dalam Negeri United Kingdom (UK), Suella Braverman dipecat daripada kerajaan selepas menuduh demonstrasi pro-Palestin sebagai platform menyebar sentimen kebencian dan penyokong keganasan.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) turut meluluskan resolusi untuk menghentikan pengeboman secara melata di Gaza dan mensasarkan orang awam serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.

Ini adalah percubaan kelima UNSC membahaskan usul berkenaan selepas AS menggunakan kuasa veto untuk menyekat resolusi membantu Gaza empat kali sebelum ini.

Anwar terus lantang bangkit sokongan

Menyedari perubahan semakin jelas ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim turut bersuara dengan membangkitkan lima pendirian tegas Malaysia pada sidang kemuncak tergempar Arab Saudi awal minggu ini dan sekali lagi pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di AS, antaranya keperluan menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengambil langkah proaktif menyambut usaha ini dengan Menterinya, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kementerian membuka permohonan secara dalam talian untuk pegawai berminat menyertai pasukan perubatan Malaysia ke Gaza.

Malaysia pada dasarnya mempunyai rekod cemerlang dalam aspek penghantaran pasukan perubatan ke wilayah bergolak dan berperang sebelum ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) amat aktif melaksanakan misi kemanusiaan di zon konflik. Sementara itu, beberapa NGO lain juga sebelum ini amat aktif di Gaza.

Namun, ketika banyak pihak dan negara terus menyatakan sokongan kepada Palestin, Israel dan Hamas juga wajar digesa untuk mencapai gencatan senjata jangka pendek dan perjanjian jangka sederhana untuk menamatkan perang ketika ini.

Dalam konteks ini, Malaysia berkeupayaan untuk menjalankan peranannya sebagai pendesak supaya perang di Palestin segera ditamatkan. Pada masa sama, keberangkatan NGO kemanusiaan Malaysia diharap menjadi suntikan sokongan baharu kepada Gaza dan Palestin.

Sumber; Berita Harian