2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

TEMBAKAN DILEPASKAN SEMASA TUNJUK PERASAAN DI DELHI

NEW DELHI, 31 Jan – Seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan yang mencederakan seorang individu semasa protes terhadap undang-undang baharu kewarganegaraan India yang didakwa menganiaya umat Islam.

Kejadian berhampiran sebuah universiti di bandar itu adalah yang pertama berlaku sepanjang demonstrasi yang berlangsung selama lebih sebulan.

Beberapa saksi berkata lelaki terbabit memegang sepucuk pistol sambil melaungkan slogan terhadap penunjuk perasaan berhampiran Universiti Jamia Millis Islamia, sebelum melepaskan tembakan terhadap mereka. 

“Polis ada berdiri berhampiran,” kata saksi, Ahmed Zahir.

Dipercayai seorang lelaki memakai jaket hitam dan mengacukan pistol, berdiri beberapa meter dari sekumpulan anggota polis yang dikerahkan berkawal di luar universiti itu, yang menjadi lokasi penunjuk perasaan berkumpul.

Polis memaklumkan mereka menahan suspek selepas kejadian itu.

Protes terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan, yang mempercepatkan kewarganegaraan India kepada minoriti bukan Islam dari tiga negara jiran, berlaku sejak Disember lalu.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, menegaskan undang-undang itu diperlukan untuk membantu minoriti yang menjadi pelarian di India sebelum 2015 dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

Namun, penunjuk perasaan mendakwa undang-undang berkenaan dan pendaftaran nasional untuk rakyat yang diusulkan, adalah diskriminasi terhadap minoriti Islam di negara itu serta bertentangan perlembagaan sekular India.

Sejak beberapa hari lalu, beberapa pemimpin dari parti Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP), menggesa tindakan diambil terhadap penunjuk perasaan yang disifatkan sebagai tidak patriotik.

Minggu ini, Menteri Kewangan, Anurag Thakur, menggalakkan penyokong pada himpunan pilihan raya negeri di New Delhi, untuk melaungkan slogan menggesa pengkhianat ditembak, yang kemudian ditegur suruhanjaya pilihan raya negara itu. 

Sumber: Berita Harian