2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-09-15 at 9.05.03 AM
Info SemasaKenyataan Media

Mangsa gempa bumi terdesak, tagih bantuan kita untuk teruskan hidup

Malaysia, 15 September 2023 – Hampir seminggu kejadian gempa bumi melanda Maghribi. Kini, mereka yang masih hidup harus kuat untuk meneruskan kehidupan dan bangkit setelah kehilangan orang tersayang, tempat tinggal serta segala keperluan asas yang lain.

Emosi mereka juga turut terabai kerana keadaan yang belum stabil. Psikologi mereka perlu dirawat kerana kehilangan bukanlah satu perkara yang remeh bagi semua orang. Menurut beberapa sumber di sana, penduduk di sana berasa diabaikan kerana belum ada yang datang bertanya khabar dan jika ada yang membantu tetapi belum mencukupi kerana mangsa yang terlibat dalam gempa bumi, adalah ramai.

Ada sumber mengatakan juga, mereka terasa diabaikan dan barangkali pihak berkuasa masih sibuk menguruskan mangsa-mangsa kritikal dan usaha menyelamatkan mangsa-mangsa tertimbus.

Mereka inginkan bantuan sampai segera untuk meneruskan kehidupan namun akur dengan keadaan semasa.

Terkini, angka direkodkan di portal-portal media memaparkan jumlah mangsa terkorban hampir 2,800 orang dan jumlah mereka tercedera juga lebih kurang sama dengan angka korban.

Justeru, sama-samalah kita berdoa agar segala usaha dapat dijalankan oleh pihak berkuasa di sana untuk membantu mereka yang memerlukan dari segi emosi dan keperluan asas yang lain.

Serantau Muslim turut menyeru seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama bersolidariti dan memberi sokongan kepada saudara kita di Maghribi dengan memanjatkan doa serta menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban mereka.

Wakil kami telah pun ada di lokasi gempa untuk memantau dan memberi perkembangan dari semasa ke semasa. Kami menggerakkan kutipan sumbangan melalui bantuankecemasan.com. Serantau Muslim membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia, dermawan dan badan-badan korporat untuk bersama-sama dalam misi bantuan ini.

Semoga sumbangan kita walaupun kecil dapat membantu memberi sinar kegembiraan kepada mereka.