2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PENDUDUK UIGHUR TURKI FAIL ADUAN JENAYAH TERHADAP CHINA

ANKARA: Seramai 19 individu dari sebuah kumpulan etnik Uighur Islam di Turki memfailkan aduan jenayah terhadap pihak berkuasa China atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, merogol dan jenayah kemanusiaan.

Lapor Al Jazeera, peguam Gulden Sonmez berkata, tindakan itu amat perlu memandangkan agensi antarabangsa gagal mengambil tindakan terhadap China yang didakwa menindas golongan berkenaan sebagai buruh paksa termasuk menahan hampir sejuta penduduk Uighur dan minoriti Islam di kem sejak tahun 2016.

“Mahkamah Jenayah Antarabangsa sepatutnya sudah memulakan perbicaraan ini namun China merupakan ahli Majlis Keselamatan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan nampaknya tidak mungkin dalam dinamik ini,” katanya.

Aduan jenayah itu difailkan di Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul.

Aduan tersebut berhubung 116 orang yang masih ditahan di China dan difailkan terhadap 112 individu termasuk anggota Parti Komunis China, pengarah dan pegawai di kem tahanan.

“Perundangan Turki mengiktiraf bidang kuasa sejagat. Penindasan, pembunuhan beramai-ramai, rogol dan jenayah kemanusiaan boleh didakwa di mahkamah negara ini dan mereka boleh dibicarakan,” katanya.

Sebelum ini, China menafikan kem tahanan itu wujud namun mendakwa merupakan pusat latihan vokasional dan ditubuhkan untuk membendung pandangan kumpulan pelampau.

Beijing menafikan semua tuduhan negara itu melakukan penindasan. 

Sumber: UM