2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-09-24 at 4.34.07 AM
Info Semasa

Pemimpin Islam guna pentas UNGA kecam diskriminasi Barat

NEW YORK: Pemimpin Islam yang berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 78) mengambil kesempatan di pentas itu untuk mengecam Barat berhubung insiden membakar al-Quran di beberapa negara, menyifatkan tindakan yang dilindungi di bawah kebebasan bersuara itu sebagai diskriminasi.

Utusan Malaysia melaporkan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah memberi tekanan selama berbulan-bulan ke atas Sweden kerana menerima aktivis Kurdish yang dilihat Turkiye sebagai pengganas berkata, negara-negara Barat memperlihatkan wabak perkauman termasuk Islamofobia.

“Ia kini mencapai tahap yang tidak boleh diterima. Malangnya ahli politik populis di banyak negara terus bermain api dengan menggalakkan trend berbahaya seperti itu.

“Mentaliti yang menggalakkan serangan mengerikan terhadap al-Quran di Eropah dan membenarkan mereka bersembunyi di sebalik topeng kebebasan bersuara secara dasarnya menggelapkan masa depan Eropah melalui tangan mereka sendiri,” katanya ketika berucap di perhimpunan tersebut.

Protes di Sweden yang membabitkan pembakaran al-Quran dianjurkan pelarian, Salwan Momika, mencetuskan kemarahan di Asia Barat termasuk negara asalnya Iraq.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi yang mengangkat al-Quran ketika berucap, menuduh Barat berusaha mengalihkan perhatian berhubung isu itu menggunakan elemen kebebasan bersuara.

“Api rasa tidak hormat tidak akan mengatasi kebenaran.

“Islamofobia dan budaya apartheid yang disaksikan di negara-negara Barat terbukti dalam tindakan daripada mencemarkan al-Quran hingga kepada larangan hijab di sekolah serta banyak lagi diskriminasi yang menyedihkan dan tidak layak untuk maruah manusia,” kata Raisi.

Beliau turut merujuk tindakan Perancis yang secara kontroversi mengharamkan wanita Islam memakai tudung di sekolah.

Dalam pada itu Ebrahim turut menuduh Amerika Syarikat (AS) memburukkan keadaan perang di Ukraine.

Beliau bagaimanapun menegaskan Teheran yang diketahui menyediakan dron kepada Russia akan menyokong penyelesaian damai antara kedua-dua negara.

“AS telah menyemarakkan api keganasan di Ukraine untuk melemahkan negara-negara Eropah dan malangnya ini adalah rancangan jangka panjang,” katanya kepada anggota UNGA yang hadir.

Iran mempunyai hubungan tegang dengan AS selepas negara itu mengenakan sekatan baharu ke atas Teheran kerana menjual dron kepada Moscow.

Tetapi Ebrahim menegaskan Iran merupakan negara berkecuali, yang sebahagian besarnya mengelak daripada resolusi mengenai perang Ukraine.

“Kami menyokong sebarang inisiatif untuk menghentikan permusuhan dan peperangan,” tegasnya.