2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-09-25 at 4.37.38 PM
Info Semasa

Anwar Ibrahim bertindak lantang dan berani, bawa suara pemimpin Islam di UNGA

YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim merupakan Perdana Menteri ke-10 Malaysia bertindak lantang dan berani membawa suara pemimpin Islam di persada antarabangsa.

Berikut merupakan ucapan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri Malaysia yang dilaporkan oleh Berita Harian.

IZINKAN saya, bagi pihak negara dan rakyat Malaysia mengemukakan pandangan ke arah keamanan dan kesejahteraan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, September 2023.

1. KETIKA perhimpunan ini dimulakan hampir 80 tahun lalu, dunia masih terluka kesan pertumpahan darah yang dijanji tidak harus diulangi. Keputusan atas paksi kebijaksanaan, kemurnian hati dan bulat tekad, diambil supaya Perhimpunan Agung ini menjadi landasan utama dalam menentukan dasar dan suara Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

2. Ketetapan itu jelas memperakui kekuatan dan kebenaran pegangan kita. Dengan memberi suara saksama kepada negara berdaulat, pengasas PBB meneroka visi ke arah pembentukan dunia yang lebih demokratik, terbentuk atas asas kesaksamaan dan keadilan. Wawasan ini dengan sendirinya melupuskan pegangan lampau yang mana gagah mengatasi lemah, kaya mengatasi miskin dan yang tertindas; dan kuasa besar mengatasi semua. Pada hemat saya, pandangan itu telah lumat berderai.

3. Hari ini, kita dapati kuasa besar dan negara yang mahu mengecapi status antarabangsa lebih ampuh, semakin meminggirkan PBB dan beralih ke platform lebih kecil dan dianggap lebih berkesan. Pada ketika kuasa berkenaan terus berpura-pura menyokong segala bentuk multilateralisme, kita melihat kemunculan minilateralisme yang menjalar menjadi perpecahan kuasa.

4. Kita kini hidup dalam dunia dipenuhi pemisahan. Kita melihat persaingan kuasa besar yang membawa kesan negatif terhadap negara lain di wilayah bergolak, khususnya negara kecil. Penyudahnya, kita berdepan dengan dilema geopolitik dan geostrategik. Walaupun negara kuasa besar terus meyakinkan kita tidak perlu berpihak, hakikat adalah sebaliknya. Tanpa semakan, ini akan terus membuatkan suara sebahagian besar masyarakat dunia tidak diwakili, yang sedikit berkuasa terhadap yang besar, dan yang ramai dibenci oleh yang kecil.

5. Idealisme dan keluhuran prinsip Piagam PBB mengajak negara menyelesaikan pertikaian secara aman, dan mengelak daripada mengancam atau menggunakan kekerasan ke atas integriti dan kedaulatan wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara.

6. Kita mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Russia ke atas Ukraine. Konflik di Ukraine ini, misalnya, menuntut perlunya perselisihan diselesaikan secara aman dan perbezaan dirungkai menerusi rundingan. Kita tidak mempunyai banyak masa, dan melihat kepada kegagalan rundingan dalam krisis Russia-Ukraine, saya mendesak supaya PBB mengetuai usaha untuk menyelesaikannya.

7. Kita tidak boleh memilih siapa jiran kita, namun kita mempunyai pilihan untuk hidup dengan aman bersama mereka. Dan keamanan tidak boleh dikecapi tanpa semua pihak mengetepikan segala prasangka. Adalah amat penting bagi semua pihak kembali berbincang dan merungkai segala perbezaan di meja rundingan.

8. Konflik Ukraine yang berlarutan memberi kesan kepada seluruh dunia, dengan harga makanan melonjak dan mencetuskan isu kekurangan bekalan, kebuluran serta kekecewaan. Sama seperti konflik di tempat lain, tidak kiralah di Asia Barat atau Asia Tenggara, ia mendorong penghijrahan terpaksa, sekali gus menambah masalah pelarian dan migran tanpa negara.

9. Di Asia Barat, kebejatan politik terus rakus berlaku dengan lebih banyak penempatan haram dibina, tanah milik rakyat Palestin dirampas. Ini dengan jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Ia turut menghalang penyelesaian dua negara, manakala pembunuhan terus berleluasa.

10. Wujud hipokrasi ketara dalam usaha menangani isu Palestin. Masyarakat antarabangsa mesti bersuara menentang kekejaman ke atas rakyat Palestin, seperti mana mereka lantang menentang pencabulan hak asasi manusia, ketidakadilan dan rejim zalim.

11. Malaysia kekal prihatin dengan situasi kemanusiaan di Afghanistan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara itu bergelut dengan kemarau buat tahun ketiga berturut-turut dan serangan belalang juta yang teruk menjejaskan tuaian gandum.

12. Malaysia komited meneruskan hubungan antara rakyat dengan Afghanistan, termasuk dari segi penyediaan bantuan kemanusiaan.

13. Bagaimanapun, kami kekal tegas dengan pendirian mendesak pihak berkuasa Afghanistan untuk menghapuskan dasar peminggiran dan diskriminasi terhadap wanita dan perempuan. Menafikan hak mereka untuk ke mendapat Pendidikan di sekolah jelas melanggar prinsip ajaran Islam, selain mencabuli Piagam PBB dan kerangka multilateral hak asasi manusia. Mereka juga secara langsung memalapkan masa depan Afghanistan.

14. Kami amat bimbang dengan keganasan berterusan dan ketidakstabilan pasca rampasan kuasa di Myanmar. Ini adalah antara cabaran strategik dan kemanusiaan terbesar di Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sukar untuk kita menerima perbuatan tidak bertamadun dan kekejaman ke atas penduduk Myanmar, yang jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip penduduk di wilayah itu dan secara global.

15. Sokongan masyarakat antarabangsa termasuk PBB, penting dalam terus mendesak dan mengekalkan tekanan sewajarnya supaya pihak berkuasa tentera berundur. Sejajar prinsip pemusatan ASEAN yang mendesak konflik berterusan mesti dinoktahkan, Malaysia meminta Myanmar untuk segera melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN dalam mencapai keamanan dan kestabilan di negara itu.

16. ASEAN sedang mengemudi persaingan kuasa besar di Asia Pasifik. Malaysia percaya sebarang strategi yang diambil tidak sepatutnya memula atau memburukkan perlumbaan dalam menunjukkan penguasaan. Sebaliknya, strategi itu harus menyumbang kepada keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran rantau ini.

17. Saintis mengesahkan dunia baru merekodkan musim panas tertinggi dalam sejarah. Kita mendengar Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dengan serius mengisytiharkan kerosakan iklim sudah bermula. Malaysia juga menyaksikan peningkatan kesan buruk berikutan perubahan iklim dengan peningkatan suhu, kenaikan paras lautnya, monsun yang semakin buruk serta corak cuaca tidak menentu yang mengganggu mata pencarian dan merendahkan ekosistem tempatan. Sesungguhnya, kita tidak mempunyai banyak masa.

18. Malaysia melaksanakan peranannya dengan membangunkan pelan hala tuju rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui untuk melaksanakan strategi pengurangan dan penyesuaian. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang baru dilancarkan diharap membantu Malaysia mencapai Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC), sekali gus merintis jalan ke arah aspirasi sifar bersih.

19. Perbincangan mengenai hala tuju iklim tanpa kesaksamaan, keadilan dan cara yang diperlukan untuk membantu dan memperkasa negara untuk melaksanakan tindakan iklim yang lebih besar, adalah sia-sia.

20. Kami juga menggesa negara maju memenuhi komitmen untuk menyumbang AS$100 bilion (RM469.15 bilion) setahun bagi menyokong usaha hala tuju iklim negara membangun, selain memperakui beberapa trilion dolar setahun diperlukan dalam masa terdekat.

21. Laporan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2023 mengesahkan kita ketinggalan hampir sepertiga daripada sasaran, sama ada dalam keadaan statik atau lebih teruk, merosot.

22. Ekonomi global diunjur terus dibelenggu ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga komoditi dan keadaan kewangan yang mencabar. Keadaan ini melebarkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan, yang membawa kepada ketaksamaan berterusan. Oleh kerana pertumbuhan dalam pendapatan gagal menandingi pertumbuhan ekonomi, isi rumah menjadi terbeban dengan hutang. Kita kini berada dalam keadaan yang mana kehidupan masyarakat kaya raya beriringan dengan golongan miskin tegar.

23. Perbezaan ketara ini cenderung kepada keperluan asas yang penting: makanan, tempat berlindung, akses kepada Pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan.

24. Semua faktor ini menuntut kepada perubahan drastik dan sistematik., institusi global yang membawa kesan terhadap kita perlu disusun semula. Jika tidak, kita bakal berdepan jurang ketidaksamaan semakin melebar yang menjarakkan negara dan rakyat.

25. Kita bimbang dengan kemunculan ‘rasisme bentuk baharu’ yang dicorakkan oleh kebencian atau xenofobia, andaian negatif dan tanggapan stereotaip terhadap orang Islam. Ini jelas dilihat menerusi peningkatan trend kebencian, enggan bertoleransi, dan keganasan terhadap orang Islam serta segala apa yang suci buat mereka. Kita juga amat terkejut apabila perlakuan ini diterima dan dibenarkan atas dasar mempertahankan hak asasi manusia. Pembakaran al-Quran tidak lain hanyalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan menghasut kepada kebencian. Kegagalan bertindak terhadap provokasi melampau terhadap agama adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan memberi mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

26. Kita mesti memelihara nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati. Kita mesti mempromosi silang budaya, silang ketamadunan, dan kerjasama silang agama. Kita mesti menyatukan kepercayaan masing-masing dalam mempromosi kefahaman serta muhibah sesama kita, selain mengukuhkan keamanan dan harmoni dalam kalangan pelbagai negara.

27. Semua ini bukan mudah tetapi itu sebabnya mengapa kita berada di sini. Saya percaya apa sahaja cabaran tidak akan dapat diatasi tanpa komitmen kolektif masyarakat global dalam kalangan negara anggota institusi mulia ini. Apa yang kita perlukan adalah kepercayaan dan keyakinan untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik, kemahuan untuk bekerjasama dalam platform konsensus dan penyatuan.

28. Awal tahun ini, saya memperkenalkan konsep ‘Malaysia MADANI’, iaitu wawasan bertunjangkan nilai utama yang amat penting dalam masyarakat harmoni, makmur dan aman – Belas Kasihan, Hormat, Percaya, Inovasi , Kemakmuran, dan Lestari. Prinsip asas dan nilai moral ini turut terpakai dalam konteks hubungan kita bersama negara lain.

29. Tidak kira sama ada G7, G20, G77, atau APEC (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) atau Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar dunia sekalipun, kita tidak boleh menafikan kerjasama multilateral adalah prasyarat utama dalam mencari penyelesaian efektif dan mapan terhadap pelbagai krisis yang menghimpit dunia. Untuk itu, perlu dinyatakan komitmen Malaysia terhadap PBB dan sistem multilateral terbentuk atas keyakinan bahawa semua negara – tanpa mengira besar atau kecil, kaya atau miskin, kuat atau lemah – mempunyai tanggungjawab bersama dalam membentuk dunia yang lebih baik untuk hari esok.

30. Dunia dan masa depan kita akan terbentuk berdasarkan wawasan dan usaha kita. Malaysia yakin ini boleh dicapai menerusi kesalingpercayaan dan pengukuhan usaha pelbagai pihak. PBB boleh menjadi kapal yang membawa kita daripada kemuraman kepada masa depan bergemerlapan, daripada ketidaktentuan kepada keyakinan, dan daripada kecaman kepada berdaya tahan.

Terima kasih.