2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-11-28 at 3.55.36 PM
Info Semasa

Pemberhentian perang Hamas-Israel dilanjutkan 2 hari

Pemberhentian perang antara Israel dan Hamas di Gaza dilanjutkan dua hari ketika ia hampir tamat semalam.

Laporan Berita Harian yang memetik kenyataan pengantara Qatar, perkembangan itu turut meningkatkan keyakinan lebih ramai tahanan Palestin dan tebusan Israel akan dibebaskan, selepas 69 orang dibebaskan sejak Jumaat lalu.

Semalam, tentera Israel berkata seramai 11 tebusannya sudah dibebaskan oleh Hamas pada detik penghujung gencatan senjata sementara (peringkat awal).

Kesemua 11 tebusan itu sudah pun berada di Israel dan diiring oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kembali ke tanah air.

Lanjutan pemberhentian sementara itu menambah kelegaan selepas kesengsaraan mengharungi perang selama tujuh minggu antara tentera Israel dan kumpulan pejuang Palestin yang bermula 7 Oktober lalu.

Sejak Jumaat lalu, sepanjang empat hari pemberhentian sementara perang, Hamas membebaskan tebusannya manakala Israel membalas dengan pembebasan tahan Palestin di penjaranya.

Israel sebelum ini bersetuju akan melanjutkan pemberhentian perang selama sehari bagi setiap 10 tebusan yang dibebaskan Hamas.

“Persetujuan dicapai untuk melanjutkan pemberhentian sementara perang selama dua hari lagi di Semenanjung Gaza,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar dalam satu catatan di platform media sosial X.

Begitu juga Hamas yang menyatakan pihaknya bersetuju melanjutkan lagi selama dua hari, bagaimanapun setakat ini Israel belum mengeluarkan apa-apa komen atau kenyataan, namun pegawai Rumah Putih mengesahkan persetujuan sudah dicapai.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta Qatar dan Mesir yang menjadi pengantara bagi memudahkan perbincangan tidak langsung.

Katanya, bantuan mereka mendorong kedua-dua pihak bertelagah mempersetujui tempoh bertenang, sekali gus membolehkan pembebasan ramai lagi tebusan dan tahanan selain membenarkan lebih banyak bantuan disalurkan ke Gaza.

Semalam, tentera Israel berkata, seramai 11 tebusan Israel yang terbaharu dibebaskan mengikut syarat pemberhentian perang asal yang sepatutnya berakhir semalam, tiba di negaranya.

Qatar berkata, tebusan yang baru dibebaskan, semuanya memiliki dua kewarganegaraan termasuk tiga warganegara Perancis, dua warga Jerman dan enam warga Argentina.

Hamas berkata, sebelum ini pihaknya menerima senarai 33 rakyat Palestin yang akan dibebaskan dari penjara Israel sebagai balasan, termasuk tiga banduan wanita dan 30 kanak-kanak bawah umur.

Dengan pembebasan terbaru itu, Hamas sudah membebaskan sejumlah 69 orang tebusan sejak Jumaat, termasuk warga Israel dan bukan Israel.

Di bawah syarat awal perjanjian gencatan senjata selama empat hari sebelum ini, Hamas sepatutnya membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak Israel yang dijadikan tebusan di Gaza.

Tiada jumlah ditetapkan dalam perjanjian mengenai jumlah warga asing yang perlu dibebaskan.

Sebelum pembebasan terbaru, jurucakap Israel berkata jumlah tebusan yang masih ditahan di Gaza sehingga semalam ialah 184 orang, termasuk 14 warga asing dan 80 warga Israel dengan dua kewarganegaraan.

Sehingga kini, tiada jumlah diumumkan mengenai bilangan tebusan yang akan dibebaskan di bawah perjanjian lanjutan itu.

Bagaimanapun, sebelum ini Ketua Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir, Diaa Rashwan, berkata perjanjian yang dirundingkan itu termasuk pembebasan 20 tebusan Israel dan 60 tahanan Palestin di penjara Israel.