2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-05-18 at 7.26.47 PM
Info Semasa

Lebih 400 maut di Rakhine dibandai Taufan Mocha

DHAKA: Lebih 400 orang maut di Rakhine akibat Taufan Mocha yang melanda pantai daerah Cox’s Bazar di Bangladesh dan perbandaran Kyaukpyu di Myanmar.

Perikatan Kebangsaan Arakan Rohingya (RNA) dalam satu kenyataan berkata, perkampungan pesisiran pantai di ibu kota Sittwe mengalami kerosakan besar dan lebih 400 orang kebanyakannya beragama Islam kehilangan nyawa dengan angka kematian dijangka meningkat.

Menurut kenyataan itu, lebih 10,000 rumah turut musnah akibat dibadai taufan dengan kelajuan angin lebih 217 kilometer sejam.

Sementara itu, Pengasas Bersama Free Rohingya Coalition, Nay San Lwin memaklumkan, di Sittwe, kira-kira 130,000 etnik Rohingya terpaksa berkurung di kem pelarian dan kebanyakan mereka belum dipindahkan.

Sebuah kem yang menempatkan 380 khemah perlindungan musnah sepenuhnya akibat ditenggelami banjir setinggi sembilan meter.

Lapor portal muslimnews.co.uk, jumlah kematian di semua kem di Sittwe mungkin lebih tinggi namun gangguan perkhidmatan mudah alih dan Internet di kawasan itu menyukarkan maklumat tepat disampaikan.

Lebih 90 peratus struktur di semua kem itu juga dilaporkan rosak sepenuhnya.

Menurut kenyataan terbaru oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), taufan
Mocha memusnahkan hampir semua rumah, tempat perlindungan, sekolah, masjid, biara, klinik dan semua infrastruktur di Sittwe.

Bandar Ponnagyan, Kyauktaw, Mrauk-U, Myebon, Pauktaw dan Rathedaung turut terjejas teruk.

Dalam pada itu, ARNA turut mengutuk rejim tentera kerana gagal menguruskan bencana taufan dengan baik dan berusaha menyelamatkan nyawa rakyat, lapor Utusan.

“Sekarang orang ramai sangat memerlukan air minuman, ubat-ubatan, tempat perlindungan, makanan dan keperluan, justeru kami menggesa masyarakat antarabangsa serta badan bukan kerajaan untuk membantu mereka.

“Rejim tentera harus memberikan semua agensi bantuan dan pembantu individu akses tanpa halangan kepada setiap orang yang memerlukan tanpa sebarang bentuk diskriminasi,” katanya.