2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
dbd749f0-43aa-4a18-8839-ec393ce99aef.jpg
Info Semasa

Khamenei tuduh AS, Israel dalang protes ganas di Iran

TEHERAN – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi protes besar-besaran di Iran yang tercetus berikutan kematian seorang gadis mati, Mahsa Amini, 22, semasa dalam dalam tahanan polis, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Menerusi komen awam pertamanya mengenai pergolakan itu, Ayatollah Ali berkata, rusuhan itu didalangi oleh musuh ketat Iran (Amerika Syarikat) dan sekutu-sekutunya.

Berucap pada majlis graduasi kadet polis dan angkatan tentera kelmarin, beliau berkata bahawa kematian Amini ‘menghancurkan hati mereka’.

“Situasi tidak normal berlaku apabila orang ramai tanpa memiliki bukti atau siasatan telah keluar ke jalan-jalan raya, membakar kitab suci al-Quran, menanggalkan tudung selain membakar masjid dan kereta,” katanya tanpa menyebut sebarang kejadian khusus.

Beliau menegaskan bahawa kuasa asing telah merancang ‘rusuhan’ itu kerana tidak mahu bertolak ansur apabila Iran ‘mencapai kekuatan dalam semua bidang’.

“Saya katakan dengan jelas bahawa rusuhan ini direka oleh AS, Israel, serta ejen yang dibayar oleh mereka dengan bantuan beberapa rakyat Iran yang menjadi pengkhianat di luar negara,” katanya.

Protes itu menimbulkan cabaran terbesar kepada pemerintahan Ayatollah Ali selama sedekad. Beliau turut menggesa pasukan keselamatan supaya bersedia menghadapi protes selanjutnya.

AS bagaimanapun didakwa terkejut dengan komen ‘ganas’ mengenai protes itu.

Dalam satu kenyataan, Presiden Joe Biden memaklumkan bahawa beliau sangat bimbang mengenai laporan peningkatan tindakan kekerasan terhadap peserta tunjuk perasaan aman di Iran.

“Penunjuk perasaan itu (di Iran) menyeru kepada prinsip yang adil dan universal,” kata Biden sambil menambah bahawa AS ‘berdiri bersama wanita-wanita Iran’ yang ‘mengilhamkan dunia dengan keberanian mereka’.

Britain bertindak balas terhadap kenyataan tersebut dengan memanggil diplomat kanan Iran di London untuk memberitahu pemimpin mereka di Teheran dengan berkata: “Daripada menyalahkan aktor luar untuk pergolakan, mereka harus bertanggungjawab atas tindakan mereka sendiri dan mendengar suara rakyat.”

Sumber: Kosmo