2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
admin@serantaumuslim.org.my
03-8408 1789
Info Semasa

‘Kem balu’ saksi derita wanita, kanak-kanak Syria

DAMSYIK: Satu laporan baharu mendedahkan wanita dan kanak-kanak yang tinggal di beberapa kem pelarian di barat laut Syria berdepan keganasan termasuk seksual sehingga menyebabkan kemurungan kronik.

Malah, sebilangan wanita itu juga dipaksa membabitkan diri dalam pelacuran.

Lapor The Guardian, kanak-kanak yang menetap di ‘kem balu’ bersama ibu mereka didapati dipinggirkan, didera dan dipaksa bekerja manakala ibu mereka pula ada kalanya dijadikan ‘pemuas nafsu’ oleh pengawal dan pegawai kem.

Lebih 80 peratus wanita yang tinggal di kem berkenaan mengakui mereka tidak mempunyai penjagaan kesihatan yang mencukupi dan 95 peratus menyatakan sudah putus harapan dengan dunia luar.

Kira-kira 34 peratus kanak-kanak mengalami satu atau lebih bentuk keganasan dan dua peratus pula menyatakan mereka dipaksa berkahwin pada usia muda.

Isu buruh kanak-kanak merupakan masalah besar dengan 58 peratus budak lelaki dan 49 peratus budak perempuan berumur 11 tahun ke atas dipaksa bekerja.

Pertubuhan bukan kerajaan, World Vision menemu bual seramai 419 orang di 28 kem pelarian yang menempatkan puluhan ribu ibu tunggal dan anak-anak mereka.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira satu daripada empat wanita mengakui menyaksikan penderaan seksual di kem pelarian itu secara harian, mingguan atau bulanan.

Hampir sembilan peratus responden pula mendakwa mereka sendiri pernah mengalami penderaan seksual.

Menurut World Vision, wanita tidak dibenarkan meninggalkan kem pelarian itu secara bebas.

Hampir tujuh juta rakyat Syria kehilangan tempat tinggal sejak konflik meletus pada tahun 2011.

Kira-kira 2.8 juta penduduk tinggal di sekitar 1,300 kem pelarian di barat laut negara itu.

Sumber: Utusan