2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-12-05 at 12.30.05 PM (2)
Info Semasa

Keganasan peneroka Israel ke atas penduduk Palestin meningkat

Laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mendedahkan trend membimbangkan berhubung peningkatan keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki.

Laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan peningkatan insiden melibatkan peneroka haram yang diiringi pasukan keselamatan penceroboh dalam menyerang komuniti Palestin.

Laporan yang dipetik dari Sinar Harian menyatakan ia secara khusus memetik kejadian pada Sabtu yang menunjukkan kematian seorang warga Palestin, sama ada disebabkan oleh tembakan tentera Israel atau tembakan peneroka, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Selain itu, tiga individu lain turut cedera dalam serangan yang dilakukan oleh peneroka Yahudi itu di bandar Qarawat Bani Hassan di Salfit.

Laporan itu menjelaskan bagaimana peneroka haram bersenjata diiringi oleh askar penceroboh menghampiri pinggir sebuah kampung sebelum membaling batu, bom petrol dan menembak kediaman penduduk Palestin.

Serangan-serangan itu mengakibatkan sebuah kediaman terbakar selain kerosakan teruk kepada rumah penduduk lain.

Keganasan berikutnya juga direkodkan, termasuk serangan oleh peneroka Yahudi bersama tentera Israel dengan menyerang rumah-rumah dan kenderaan penduduk Palestin di kampung Madama (Nablus).

Sejak 7 Oktober, OCHA mendokumenkan sebanyak 308 serangan oleh peneroka Israel ke atas rakyat Palestin, mengakibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda yang meluas.

Di tengah-tengah keganasan itu, sekurang-kurangnya 143 keluarga Palestin terdiri daripada 1,014 individu termasuk 388 kanak-kanak terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Pada masa sama, ketegangan semakin memuncak di bandar Qalqilya menyaksikan tentera penceroboh melancarkan operasi sehingga berlakunya kejadian berbalas tembakan dengan rakyat Palestin.

Semasa operasi itu, tentera Israel menembak mati seorang lelaki Palestin.

Sementara itu, laporan berkenaan turut mendedahkan seramai 246 rakyat Palestin, termasuk 65 kanak-kanak terbunuh dalam keganasan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak 7 Oktober lepas.

Selain itu sekurang-kurangnya 3,279 rakyat Palestin, termasuk 520 kanak-kanak mengalami pelbagai kecederaan dalam tempoh itu.