2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info Semasa

Filipina Lokasi Qurban Mudah 2018

Program Qurban dan Aqiqah 2018 (QurbanMudah.com) dilaksanakan pada setiap tahun oleh Serantau Muslim bagi muslim minoriti di Asia Tenggara terutama di negara-negara yang bergolak. Projek ini telah dilaksanakan selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2015 bermula di negara Kemboja, seterusnya pada tahun 2016 di Sri Lanka dan pada tahun 2017, projek ini dilaksanakan di India, di daerah Tamil Nadu yang dibantu orang tempatan di sana.  

Projek ini merupakan inisiatif yang diambil oleh Serantau Muslim untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melaksanakan ibadah Qurban dan Aqiqah di negara-negara yang memerlukan seperti di Arakan, Myanmar, Filipina, Kemboja, India dan lain-lain negara lagi. Masih ramai muslim minoriti di negara Asia Tenggara yang tidak mendapat peluang makan daging, sama ada daging lembu atau kambing gara-gara kemiskinan, penindasan dan segala kekejaman yang meragut kegembiraan mereka tiap kali tiba musim Raya Haji. 

 Jadi, bagi mengembirakan hati saudara seagama, Serantau Muslim mengambil peluang untuk membantu mereka melalui projek QurbanMudah.com ini. Pada tahun 2018 ini, Serantau Muslim mensasarkan sebanyak 350 ekor lembu dan 200 ekor kambing yang akan disembelih pada Raya Haji nanti dan dilaksanakan di beberapa buah negara seperti di Kemboja, Filipina, India dan lain-lain tempat.  Tahun ini, projek Qurban dan Aqiqah 2018 (QurbanMudah.Com) dilaksanakan di Cawit, Zamboanga City dan Matanog, Maguindanao, Philippines khusus untuk masyarakat muslim minoriti di kawasan itu.

Seterusnya, di Dar Paing, Sittwe, Arakan, Myanmar khusus untuk masyarakat muslim Rohingya. Selain itu, ibadah Qurban juga dilaksanakan di Kemboja dan di Srinagar, Kashmir, India untuk meraikan muslim minoriti di sana. Projek ini dibantu oleh wakil tempatan dan juga NGO tempatan yang sedia membantu pihak Serantau Muslim dengan menjadi rakan strategi untuk pelaksanaan ibadah qurban di negara masing-masing bagi mengerjakan ibadah Qurban dan Aqiqah disamping dapat membantu saudara seagama yang kurang bernasib baik.

Program Qurban dan Aqiqah 2018 (Qurbanmudah.com) kali ini ialah berjaya mendapatkan sebanyak 121 ekor lembu dan 75 ekor kambing keseluruhannya. Jumlah lembu yang disembelih di Philippines adalah sebanyak 96 ekor lembu iaitu 46 ekor lembu di Zamboanga dan 50 ekor lembu di Matanog. 23 ekor lembu lagi telah disembelih di Arakan, Myanmar, 1 ekor lembu di Kemboja dan 1 ekor lembu lagi di Srinagar, Kashmir, India.   

Sukarelawan Serantau Muslim telah berangkat ke Philippines pada 20 Ogos 2018. Setibanya di sana, pasukan SM telah dijemput oleh wakil WAMY Philippines, Cik Lailanie Salih. Pada 21 Ogos 2018, Hari Raya Haji Pertama di Philippines, seawal jam 4.00 pagi lagi pasukan SM telah berlepas ke Bandar Zamboanga untuk misi Qurban yang pertama di sana, sebanyak 46 ekor lembu telah ditumbangkan dan disembelih oleh sukarelawan SM yang diketuai oleh Ustaz Hakim dan dibantu oleh orang tempatan untuk urusan melapah dan pengagihan daging kepada orang kampung di Cawit, Zamboanga City, Zamboanga Del Sur, Philippines.  

Selesai sahaja pelaksanaan ibadah Qurban, pada petang harinya, kami telah mengagihkan daging qurban kepada penduduk di sekitar Cawit. Sistem kupon telah dilaksanakan bagi memudahkan urusan pengagihan daging kepada para penduduk. Setiap keluarga berhak mendapat 2 kg daging qurban. Selesai sahaja aktiviti pengagihan daging di Cawit, Zamboanga, kami telah dibawa pulang ke hotel untuk persiapan diri sebelum meneruskan perjalanan ke Bamboo House, di Barangan Kasayangan untuk mengagihkan daging qurban di sana.  

Tiba sahaja di sana, kami dibawa masuk untuk melihat penduduk yang tinggal di dalam Bamboo House. Hampir 700 keluarga yang tinggal di Bamboo House dan mereka ini secara zahirnya tinggal di dalam rumah berdindingkan buluh, berlantai kan papan dan tinggal di atas air. Daging qurban yang kami lapah di Cawit, kami bawa bersama untuk diagihkan kepada penduduk di Bamboo House malam itu. Kami juga sempat melawat ke masjid yang dibina oleh para penduduk untuk kegunaan masyarakat di situ.  

Seterusnya, pada Hari Kedua Raya Haji, pasukan Serantau Muslim telah berlepas ke Cotabato City untuk meneruskan pelaksanaan ibadah Qurban di Matanog, Maguindanao dimana pelaksanaan ibadah ini mendapat kerjasama dari Mayor Mohammad Ali S. Guro, Local Government Unit, Municipality of Matanog. Sebanyak 45 ekor telah ditumbangkan dan disembelih di Sitio, T’eeba, Municipality of Matanog. 5 ekor lembu lagi telah ditumbangkan dan disembelih pada hari seterusnya iaitu pada 24 Ogos 2018 di Torogan, Municipality of Matanog yang merupakan daerah Mayor Mohammad Ali S. Guro. 

Ibadah Qurban diteruskan di Matanog dengan dibantu penduduk kampung yang datang dari segenap kampung yang ada di Maguindanao. Sebanyak 45 ekor lembu telah ditumbangkan dan disembelih pada hari ketiga raya dan 5 ekor lembu lagi disembelih di Torogan, Municipality of Matanog, Maguindanao iaitu di kawasan Datuk Bandar pada hari raya ke-empat iaitu hari terakhir pelaksanaan ibadah Qurban untuk tahun ini.  

Pelaksanaan ibadah qurban di Philippines kali ini dibantu oleh saudara Adzhar J. Madjid yang merupakan Pegawai Pentadbir dan Kewangan, WAMY Philippines. Beliau merupakan wakil dan rakan strategi di Philippines untuk program Qurban dan Aqiqah 2018 tahun ini. Seminggu sebelum program berlangsung, beliau telah bertemu dengan pihak Ashababu Nurul Islam di Zamboanga dan seterusnya bertemu dengan Mayor Mohammad Ali S. Guro di Matanog, Maguindanao untuk berbincang mengenai perancangan pelaksanaan ibadah Qurban, urusan pembelian lembu dan sebagainya bagi memudahkan urusan Serantau Muslim untuk melaksanakan ibadah Qurban mewakili rakyat Malaysia di daerah muslim minoriti di Philippines.