2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

FATAH, HAMAS BERSATU HATI BANTAH PENAKLUKAN TEBING BARAT OLEH ISRAEL

RAMALLAH – Pihak Palestin yang berseteru, Fatah dan Hamas berikrar untuk ‘bersatu’ dalam melancarkan kempen membantah tindakan Israel untuk menakluki wilayah penduduk Tebing Barat.

Pengumuman itu dibuat melalui satu sidang media bersama yang disifatkan luar biasa.

Dalam sidang media itu, pemimpin kanan Fatah, Jibril Rajub, berkata pihaknya akan melakukan segala tindakan yang diperlukan untuk memastikan perpaduan nasional dalam usaha menentang penaklukan itu.

Kenyataan itu turut disokong oleh pemimpin Hamas, Saleh al-Arouri, yang turut menyertai sidang media itu melalui pautan video dari Beirut.

“Hari ini, kami akan bercakap secara sebulat suara,” kata Rajub.

Fatah, yang menguasai wilayah Palestin berpusat di Ramallah dan kumpulan Islam Hamas yang mengendalikan Semenanjung Gaza berbalah sejak lebih sedekad lalu.

Sidang media bersama itu dijayakan susulan mereka sebulat suara menentang rancangan Asia Barat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Melalui rancangan itu, ia membuka jalan bagi Israel untuk menakluk kira-kira 30 peratus kawasan Tebing Barat, termasuk penempatan orang Yahudi di wilayah yang dianggap tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa. 

Sumber: Berita Harian