Info SemasaKenyataan Media

PENEMPATAN SEMULA ROHINGYA UMPAMA BUNUH PERLAHAN LAHAN

PENEMPATAN SEMULA ROHINGYA UMPAMA BUNUH PERLAHAN LAHAN

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) melahirkan rasa bimbang terhadap nyawa lebih 100 ribu pelarian etnik Rohingya yang berada di Cox’s Bazar Bangladesh yang akan dicadangkan untuk ditempatkan semula di Pulau Bhasan Char.

SERANTAU MUSLIM menegaskan bahawa penempatan semula itu adalah seumpama misi membunuh secara perlahan lahan kerana Pulau Bhasan Char atau dikenali sebagai Pulau Terapung itu amat memberbahaya untuk didiniami manusia selain sememangnya kosong dan tidak berpenghuni. Malah, hampir setiap tahun pulau itu akan ditenggelami air khususnya pada bulan Jun hingga September kerana musim hujan dan ia juga terdedah kepada ancaman bahaya Ribut Siklon.

SERANTAU MUSLIM merasakan bahawa cadangan penempatan semula oleh kerajaan Bangladesh ini amat tidak wajar kerana tidak wujud sebarang prasarana awam di pulau tersebut selain tiada jaminan untuk bantuan kecemasan dari seluruh dunia dapat disalurkan ke Bhasan Char.

SERANTAU MUSLIM turut mempersoalkan kebajikan anak anak Rohingya khususnya dalam soal pendidikan dan perlindungan asas kerana sudah pastinya tidak wujud prasarana sekolah untuk pembinaan masa depan anak anak Rohingya .

SERANTAU MUSLIM turut melahirkan rasa bimbang dengan bekalan makanan dan minuman yang merupakan perkara asas kehidupan seorang manusia samada ianya ada diperuntukkan dan mencukupi memandangkan pulau terapung itu berada di kedudukan yang terpencil dan terputus dari tanah besar.

SERANTAU MUSLIM juga bimbang sekiranya idea penempatan semula ini diteruskan, wajah kerajaan Bangladesh yang harum mekar kerana menjadi hero menyelamatkan jutaan etnik Rohingya akan berubah menjadi teruk bahkan lebih teruk daripada Kerajaan Myanmar yang membunuh etnik Rohingya disebabkan hubungan antara kerajaan Bangladesh dan etnik Rohingya didasari semangat perpaduan Islam.

SERANTAU MUSLIM juga turut menganggap ucapan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Haisaina mengatakan bahawa pelarian tidak boleh bergerak ke mana-mana kecuali mereka mahu pulang ke Myanmar atau mereka ini diberikan suaka perlindungan oleh negara ketiga adalah satu jalan buntu atau ‘deadlock’ kepada situasi yang menimpa etnik paling tertindas di dunia itu.

SERANTAU MUSLIM menegaskan sekali lagi bahawa cadangan penempatan semula ini hanyalah memburukkan lagi keadaan kerana ianya melibatkan nyawa ratusan ribu pelarian yang terancam samada dari sudut sumber asas kehidupan, kemudahan hospital dan ubat ubatan, pendidikan, kebajikan dan banyak lagi selain dari faktor pulau tersebut tidak didiami oleh manusia.

SERANTAU MUSLIM mencadangkan agar kerajaan Bangladesh tidak meneruskan idea ini sebaliknya memberi lebih banyak peluang kepada agensi kemanusiaan seluruh dunia untuk membantu kerajaan Bangladesh memberi bantuan kepada etnik Rohingya yang berada di Cox’s Bazar.

Sekiranya proses untuk memberi ruang kepada agensi kemanusiaan memberi bantuan ini dipermudahkan, SERANTAU MUSLIM percaya ia dapat meringankan beban kerajaan Bangladesh untuk menangani dan menyantuni nasib etnik Rohingya di Cox’s Bazar. Bahkan sehingga kini, lebih dari 10 Juta Ringgit Malaysia telah disalurkan oleh kerajaan Malaysia dan puluhan NGO tempatan kepada pelarian Rohingya yang berada di Cox Bazar untuk meringankan beban kerajaan Bangladesh untuk menampung kehidupan mereka.

SERANTAU MUSLIM melihat isu ini sangat penting untuk diambil perhatian dan cadangan penempatan semula ini hendaklah dihentikan serta merta kerana ia melibatkan soal kemanusiaan, soal nyawa dan masa depan etnik Rohingya.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor
Pengurus Besar Serantau Muslim