2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info Semasa

PERLUMBAAN YANG MERUGIKAN

Kehidupan yang kita jalani ini tidak lain tidak bukan merupakan sebuah perlumbaan dan pencarian. Menjadi lumrah manusia bahawa jika mereka tidak menemukan sesuatu untuk mengisi jiwanya, pasti dia akan mencari gantinya dan menjadikannya sebagai tujuan hidup mereka. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh, mengerahkan segala kudrat yang ada untuk memilikinya. Itulah yang akhirnya akan menjadi tujuan mutlak kehidupannya.

Dalam pada manusia itu berlumba-lumba terhadap perkara keduniaan, pandangan mereka terhadap akhirat semakin dikaburi. Sinaran hidayah tidak lagi menjadi penyuluh yang menerangi kehidupan mereka. Secara tidak sedar, mereka telah mengikuti langkah-langkah syaitan dan menjadikan diri mereka hamba kepada nafsu syahwat. Mereka bahkan begitu berbangga dengan segala nikmat dan kelebihan yang Allah kurniakan.

Allah S.W.T telah memperingatkan kita agar tidak menjadi golongan yang lalai akibat terlampau sibuk mengejar kenikmatan dunia. Apatah lagi merasa begitu megah dan bangga pernah terjadi kepada dua kabilah daripada golongan Ansar iaitu Bani Haritha dan Bani Harith. Mereka saling merasa bangga diri dan rasa lebih baik daripada yang lain.

Apabila satu pihak berkata “Apakah pada kalian ada yang sehebat si fulan dan sifulan?” pihak lagi satu juga akan melalukan hal yang serupa. Selanjutnya mereka akan saling berkata, “Marilah kita pergi ke perkuburan.” Sesampai sahaja di sana, mereka akan menunjuk-nunjuk ke arah kubur orang- orang yang hebat daripada kaum mereka. Allah S.W.T lalu menurunkan ayat ini (maksudnya): “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (at-Takathur:1-2)

KERAKUSAN MANUSIA TERHADAP DUNIA

Rasulullah S.A.W pernah bersabda (maksudnya):

“Andaikan anak Adam (manusia) mempunyai satu lembah emas, pasti dia ingin mempunyai dua lembah. Dan tiada yang dapat menutup mulutnya (menghentikan kerakusannya pada dunia) kecuali tanah (maut). Dan Allah berkenan menerima taubat bagi siapa sahaja yang bertaubat.” (HR Bukhari & Muslim)

Sudah menjadi fitrah manusia diciptakan sentiasa berkeinginan dan mempunyai daya kemahuan yang tinggi. Tidak cukup untuk melengkapkan keperluan, manusia juga sentiasa berkenginan untuk melengkapkan segala kemahuan dan kehendaknya. Begitulah sifat rakus dan tamak manusia. Walaupun Rasulullah S.A.W telah memperingatkan kita untuk tidak mewarisi kedua sifat ini, akan tetapi, masih ada antara kita terlalu sibuk mengejar sesuatu yang tidak kekal dan sesuatu yang tidak pasti.

Lihatlah betapa ramai manusia yang telah dilalaikan dengan pelbagai nikmat berupa pangkat, harta benda dan anak pinak. Sedangkan mereka lupa dan alpa daripada mengumpul bekalan yang bermanfaat sebagai persiapan untuk menghadiri hari akhirat kelak. Mereka berterusan mengejar duniawi lantas melupakan langsung kehidupan yang hakiki. Hanya kematianlah yang akan menyedarkan mereka ini. Namun, pada ketika itu, semuanya sudah terlambat. Tidak ada lagi bahagian mereka yang tersisa untuk akhirat yang kekal abadi.

“Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Hud: 15-16)

 

HIDUP MENCARI BEKALAN AKHIRAT

Rasulluah S.A.W. mengajar kita supaya menganggap dunia ini hanyalah sebagai tempat persinggahan. Hidup yang kekal abadi hanyalah di akhirat nanti. Kehidupan kita ibarat kehidupan seorang pengembara yang singgah di tempat persinggahannya untuk mengumpul bekalan buat perjalanannya yang masih jauh.

Kita perlu mengambil dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada semasa kita masih hidup dan sihat ini bagi mengumpul bekalan akhirat. Apalagi sebagai seorang Muslim, kita mestilah menghargai masa dan tidak melengah-lengahkan urusan yang baik. Islam mengajar kita untuk memanfaatkan setiap detik yang kita ada dengan melakukan perkara yang bermanfaat untuk diri kita, dunia dan akhirat.

Daripada Abdullah Ibnu Umar R.A, katanya:

Rasulullah S.A.W memegang bahuku seraya bersabda (maksudnya):

“Jadilah di atas dunia ini sebagai seorang perantau.”Ibnu Umar berkata: “Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah tunggu menjelang waktu pagi. Apabila kamu berada di waktu pagi, jangan tunggu menjelangnya waktu petang. Gunakan peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan matimu.” (HR Bukhari)

Manusia tidak wajar leka dengan keseronokan di dunia hingga melupakan kehidupan akhirat yang lebih berharga. Kedudukan manusia sama seperti seorang perantau yang tidak boleh leka dengan keseronokan dan perhiasan di tempat persinggahannya, hingga lupa kepada destinasi sebenarnya yang masih jauh.

Tiada ruang untuk kita bermegah-megah dengan nikmat yang dipinjamkannya sehingga lupa untuk memanfaatkannya sebaiknya. Oleh itu, letakkanlah dunia di tanganmu dan bukan di hatimu, kerana ketahuilah dengan yakin kelak kita pasti akan meninggalkannya.

(Sumber: Mohammad Aizat Kamal, Pelajar Perubatan, Universitas Hasanuddin, Makassar, Indonesia)

Adakah anda mahu mencari bekalan akhirat…

Cuba tekan link dibawah…

SUMBANG SEKARANG