2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-29 at 12.43.30 PM (1)
Uncategorized

Penduduk Gaza di ambang kebuluran, tiada bekalan air bersih – WFP

Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa risiko kebuluruan semakin meningkat di utara Gaza, berikutan tiada akses bagi mana-mana kumpulan misi kemanusiaan menyalurkan bantuannya sejak 23 Januari lalu.

Menerusi laporan Berita Harian menyatakan bahawa krisis kemanusiaan semakin teruk di Semenanjung Gaza dan agensi bantuan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masih ada di sana menghadapi cabaran besar untuk mengatasinya.

Justeru, badan kemanusiaan lain mengerahkan penyaluran bantuan untuk ribuan rakyat Palestin yang sangat memerlukan tetapi laluan mereka tersekat akibat kerenah birokrasi dan bantahan penduduk Israel.

Dalam masa sama, Timbalan Pengarah Eksekutif WFP, Carl Skau berpandangan jika tiada apa-apa perubahan berlaku, kebuluran akan berlaku di utara Gaza.

Rakannya dari Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Ramesh Rajasingham, juga memberi amaran sama mengatakan kebuluran yang semakin meluas hampir tidak dapat dielakkan.

“Pada penghujung Februari, 25 peratus penduduk atau sekurang-kurangnya 576,000 orang di Gaza, selangkah lagi menghampiri kebuluran, dengan satu daripada enam kanak-kanak bawah umur dua tahun di utara Gaza mengalami kekurangan zat makanan yang teruk,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Maurizio Martina berkata, kira-kira 97 peratus air bawah tanah di Gaza dilaporkan tidak sesuai bagi kegunaan manusia dan pengeluaran pertanian juga merosot.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Stephane Dujarric pula memberitahu bantuan sudah tersedia dan menunggu di sempadan.

“Rakan sekerja WFP juga memberitahu kami bahawa mereka mempunyai bekalan makanan di sempadan Gaza dan dalam keadaan tertentu, mereka mampu meningkatkan kapasiti makanan sehingga 2.2 juta orang di seluruh Gaza.

“Hampir 1,000 trak yang membawa 15,000 tan metrik makanan yang berada di Mesir juga bersedia untuk bergerak,” katanya.

Namun, jurucakap OCHA, Jens Laerke, yang bercakap di Geneva pada Selasa memberitahu tentera Israel secara sistematik menghalang akses bantuan masuk ke Gaza.

Semua konvoi bantuan yang dirancang ke utara dinafikan oleh pihak berkuasa Israel sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kali terakhir mereka dibenarkan masuk adalah pada 23 Januari, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) minggu lalu memberitahu sudah mencapai titik kritikal, selepas pendermanya dibekukan pembiayaan, sementara Israel pula mengenakan tekanan untuk membongkar badan kemanusiaan itu.

Skau berkata, Majlis Keselamatan PBB mesti mengambil tindakannya.

“Kita semua mesti menggandakan dan melaksanakan tanggungjawab kita untuk memastikan ia (kebuluran) tidak berlaku,” katanya.