2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PALESTIN NANTIKAN PERANAN AS YANG ‘POSITIF’ DI BAWAH BIDEN

KAHERAH: Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Liga Arab semalam berharap pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah kepemimpinan Presiden dipilih, Joe Biden memainkan peranan positif ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka.

Presiden PA, Mahmud Abbas dan Ketua Liga Arab yang berpusat di Kaherah, Ahmed Aboul Gheit mengadakan perbincangan di ibu negara Mesir mengenai konflik Israel-Palestin menjelang majlis angkat sumpah Presiden AS yang baharu.

Mereka berharap pentadbiran AS yang baharu “membuka jalan untuk pemulihan peranan yang lebih aktif dan positif” bagi mencari penyelesaian dan menubuhkan negara Palestin, dalam satu pernyataan bersama.

Abbas meminta Biden untuk menyuburkan kembali hubungan antara Palestin dan Washington yang terjejas ketika pemerintahan Presiden Donald Trump.

PA memutuskan hubungan dengan pemerintahan Trump dan menuduh pemimpin itu secara terang-terangan pro-Israel.

Pentadbiran Trump sebelum ini memotong dana kepada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA).

Beliau turut mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ‘ibu negara tidak terbahagi’ Israel dan memindahkan kedutaan As di bandar itu.

Trump mengelak daripada mengkritik pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat, melanggar dasar AS selama puluhan tahun bahawa peluasan penempatan adalah halangan kepada perdamaian.

Pada Januari, beliau melancarkan rancangan perdamaian Asia Barat yang kontroversi tanpa mengambil kira pandangan rakyat Palestin, yang menolaknya secara langsung.

Abbas kini dalam sesi lawatan serantau dalam usaha meningkatkan sokongan kepada rakyat Palestin.

Beliau sebelum itu bertemu Raja Abdullah II dari Jordan dan juga akan mengadakan perbincangan di Kaherah dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada hari ini.

Raja Abdullah II dalam pertemuan di resort Aqaba di Laut Merah Jordan, mengulangi seruan supaya penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

Sumber: Berita Harian