2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-05-31 at 9.55.24 AM
Info Semasa

Mahkamah China arah kubah masjid dirobohkan, penduduk protes

BEIJING: Kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan polis berhubung rancangan pihak berkuasa tempatan ingin merobohkan kubah sebuah masjid di bandar Yunnan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Utusan Malaysia menyatakan terdapat beberapa imej yang dikongsikan dalam media sosial menunjukkan orang ramai berhimpun di luar Masjid Najiaying yang dipercayai dibina sejak abad ke-13 di pekan Nagu, pada Sabtu lalu.

Perhimpunan itu bertukar ganas apabila penunjuk perasaan mula merusuh dan cuba dikawal anggota polis yang bertugas.

Kawasan sekitar masjid itu juga dikepung pasukan keselamatan bersenjata susulan insiden yang berlaku.

Yunnan yang terletak di selatan China mempunyai populasi penduduk Islam yang besar.

Kerajaan China sebelum ini sering mewar-warkan negara itu menggalakkan kebebasan beragama, namun kumpulan pemantau meragui perkara tersebut.

Hal ini berikutan peningkatan operasi membanteras aktiviti keagamaan sejak beberapa tahun lalu, terutamanya melibatkan agama Islam.

Antara isu yang paling mendapat perhatian adalah penindasan terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang.

Badan hak asasi kemanusiaan antarabangsa sebelum ini melaporkan China cuba melakukan ‘penghapusan etnik’ apabila menahan lebih dua juta penduduk Uighur yang beragama Islam di beberapa kem yang didakwa sebagai ‘pusat latihan’.

Di dalam kem tersebut, tahanan diajar dengan nilai, budaya dan agama selain Islam.

Dalam pada itu, di Nagu, Masjid Najiaying menjadi mercu tanda utama Yunnan.

Dalam masa beberapa tahun lalu, masjid itu melakukan ubah suai yang menyaksikan kubahnya diperbaharui.

PEMBINAAN HARAM

Namun, pada 2020, mahkamah memutuskan ubah suai tersebut sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan mengarahkan supaya kubah yang dibina itu dirobohkan.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan beberapa demonstrasi sebelum ini.

Menerusi video yang dikongsi pada Sabtu lalu, puluhan anggota polis menghalang orang ramai daripada memasuki premis masjid tersebut.

Tindakan pihak berkuasa itu mencetuskan kemarahan penduduk di kawasan sekitar sehingga ada dalam kalangan mereka cuba menolak anggota polis untuk masuk ke masjid, malah ada yang membaling batu ke arah pasukan keselamatan.

Tidak lama kemudian, rusuhan dilaporkan reda apabila polis beredar dan orang ramai dibenarkan masuk semula ke masjid tersebut.

SERAH DIRI

Sementara itu, polis di daerah Tonghai di Nagu mengeluarkan kenyataan kelmarin yang meminta semua penduduk yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu menyerah diri kepada polis menjelang 6 Jun ini.

Selain itu, puluhan penduduk juga sudah ditahan berhubung rusuhan yang berlaku.

“Sesiapa yang terlibat dalam rusuhan tersebut dikehendaki menyerah diri secara sukarela di balai polis.

“Mereka akan dikenakan denda atau hukuman yang ringan jika mengakui kesalahan yang dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan tempatan pula menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘gangguan sosial yang serius’.

700,000 UMAT ISLAM DI YUNNAN

Etnik Hui merupakan satu daripada 56 kumpulan etnik yang diiktiraf oleh Beijing dengan kebanyakannya adalah Islam Sunnah.

Bagi Serantau Muslim, pihak kerajaan China haruslah menghormati hak asasi rakyat sendiri dan mencari titik kebersamaan agar tiada faktor yang boleh mencetuskan ketegangan dalam negara. Jika ia berterusan, ini akan merugikan negara sendiri dan memberi imej buruk dalam kalangan sejagat. Sama-samalah kita doakan semoga semua umat Islam di mana sahaja berada sentiasa dalam lindungan Allah SWT.