2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-06-01 at 3.46.03 PM
Info Semasa

Dunia gagal lindungi jutaan mangsa terperangkap di zon perang

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui dunia gagal memenuhi komitmen untuk melindungi orang awam apabila semakin ramai terperangkap di kawasan konflik. 

Malah, agensi antarabangsa itu turut menegaskan krisis kemanusiaan di zon perang semakin teruk pada tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang berlangsung di New York, lapor Utusan Malaysia. 

Laporan baharu PBB mengenai perlindungan orang awam di zon perang pada 2022 merujuk kepada lebih 100 konflik di seluruh dunia dan tempoh purata lebih 30 tahun. 

Sambil memetik isu kematian orang awam di Ukraine dan Sudan, sekolah dimusnahkan di Ethiopia dan kemusnahan infrastruktur bekalan air di Syria, Guterres memberi amaran kepada UNSC bahawa dunia gagal menunaikan tanggungjawab melindungi orang awam dan komitmen termaktub dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa.  

Menurut Guterres, kajian PBB terhadap layanan individu di zon perang menunjukkan 94 peratus mangsa `bahan letupan’ di kawasan paling ramai penduduk merupakan orang awam pada tahun lalu.   

Katanya, kajian itu juga menunjukkan lebih 117 juta penduduk berdepan kebuluran yang serius disebabkan peperangan dan konflik.

Di Ukraine pula, PBB merekodkan hampir 8,000 kematian orang awam dan lebih 12,500 cedera ketika negara itu berusaha melawan pencerobohan Russia yang sudah berlanjutan lebih setahun.

Bagaimanapun, PBB menjangkakan angka sebenar kes kematian dan kecederaan di Ukraine mungkin jauh lebih tinggi.

Di seluruh dunia pula, Guterres berkata, jumlah pelarian yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing akibat konflik, keganasan, pencabulan hak asasi manusia dan penindasan sudah mencecah 100 juta.  

Sehubungan itu, Guterres meminta UNSC menggesa negara-negara berkaitan untuk menghormati peraturan dan undang-undang.

“Kerajaan yang mempunyai pengaruh ke atas pihak bertelagah harus terlibat dalam dialog politik dan melatih pasukan tentera melindungi orang awam.

“Negara-negara yang mengeksport bekalan senjata pula harus menolak menjalankan perniagaan dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Marah, Mirjana Spoljaric mengesahkan ramai orang awam `hidup merana’ di kawasan konflik di seluruh dunia.

“Bila-bila masa sahaja, serangan peluru berpandu boleh memusnahkan rumah, sekolah, klinik dan semua penduduk berada di bangunan itu.

“Malah, mereka juga mungkin kehabisan bekalan makanan atau ubat,” katanya.