2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-29 at 12.43.29 PM (1)
Uncategorized @ms

Israel halang konvoi bantuan perubatan, paksa paramedik lucut pakaian – PBB

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata tentera Israel menghalang konvoi penghantaran perubatan di Khan Younis, selatan Gaza serta menahan seorang paramedik dan memaksa yang lain menanggalkan pakaian.

Menerusi laporan Berita Harian, insiden tersebut berlaku ketika pemindahan 24 pesakit dari Hospital Al-Amal di bandar berkenaan.

Tentera Israel bagaimanapun tidak segera mengulas, sebaliknya menyatakan mereka sedang menyemak butiran insiden dinyatakan OCHA.

Menurut agensi bantuan dan pegawai Palestin, kawasan kompleks hospital berkenaan dikepung ketika serangan tentera Israel terhadap Hamas di Gaza.

Jurucakap OCHA, Jens Laerke, berkata penyelarasan telah dibuat awal dengan Israel untuk semua kakitangan dan kenderaan, namun tentera Israel tetap menyekat konvoi yang diketuai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selama berjam-jam sebaik mereka meninggalkan hospital.

“Tentera Israel memaksa pesakit dan kakitangan keluar dari ambulans dan mengarahkan semua paramedik untuk menanggalkan pakaian mereka.

“Tiga paramedik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin kemudiannya ditahan, walaupun butiran peribadi mereka telah dikongsi dengan tentera Israel terlebih dahulu.

“Seorang paramedik kemudian dibebaskan dan merayu agar dua yang lain dan semua anggota kesihatan yang ditahan turut dibebaskan,” katanya.

Israel sebelum ini mendakwa mereka mengambil langkah untuk mengurangkan korban awam dan mendakwa pejuang Hamas bersembunyi dalam kalangan orang awam, termasuk di hospital dan ia dinafikan Hamas.

Israel melancarkan serangan maut ke atas Gaza berikutan serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 27,365 rakyat Palestin dan mencederakan 66,630 yang lain, manakala hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam kejadian terbabit.

Laerke berkata insiden itu bukan perkara luar biasa dengan konvoi bantuan diserang, pekerja kemanusiaan diganggu, diugut atau ditahan dan infrastruktur kemanusiaan dirosakkan.

Israel sebelum ini menafikan menghalang kemasukan bantuan.

Menurut data dan pegawai PBB, saluran bantuan ke Gaza dari Mesir semakin berkurangan dan ia menjadi semakin sukar untuk mengagihkan makanan di Palestin.