2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

7 TERKORBAN, 40 CEDERA DALAM SERANGAN BOM KERETA

GHAZNI – Puak Taliban mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom kereta terhadap agensi risikan Afghanistan di wilayah timur negara itu, di mana sekurang-kurangnya tujuh mangsa terkorban dan 40 lagi cedera.

Jurucakap kepada gabenor, Wahidullah Jumazada, memberitahu AFP bahawa pengganas menggunakan kenderaan Humvee dalam serangan yang menyasarkan unit Pengarah Keselamatan Kebangsaan di bandar Ghazni.

“Sekurang-kurangnya tujuh maut dan 40 lagi cedera, kebanyakan mangsa adalah kakitangan jabatan risikan,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri di Kabul serta seorang pegawai kesihatan di Ghazni turut mengesahkan serangan itu.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, dalam ciapan di Twitter, berkata pejuangnya bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Serangan bom itu berlaku sehari selepas Presiden Ashraf Ghani dan seteru lamanya, Abdullah Abdullah, menandatangani perjanjian perkongsian kuasa di Kabul, sekali gus menamatkan permusuhan selama beberapa bulan.

Perjanjian itu dialu-alukan Amerika Syarikat (AS) kerana membuka jalan bagi memulakan rundingan damai dengan puak Taliban.

Namun, puak Taliban memberi amaran bahawa rundingan damai tidak mungkin bermula selagi kerajaan Afghanistan tidak membebaskan pejuangnya yang masing dipenjarakan.

Seorang lagi jurucakap Taliban, Suhail Shaheen, dalam ciapan di Twitter, menyifatkan perjanjian perkongsian kuasa itu tidak bermakna kerana isu utama sekarang ialah pembebasan pejuang Taliban.

“Pembebasan pejuang Taliban yang dipenjarakan harus dilakukan terlebih dulu sebelum sebarang rundingan damai boleh dimulakan di Afghanistan,” katanya. 

Sumber: Berita Harian