2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

COVID-19: RAMAI WARGA PALESTIN TERKANDAS UNTUK PULANG

BAITULMAQDIS – Ribuan warga Palestin yang terkandas di seluruh dunia cuba untuk kembali ke negaranya sejak beberapa bulan lalu, menemui kesukaran apabila kebanyakan negara menutup sempadan dan penerbangan masuk akibat pandemik COVID-19.

Misalnya, Aseel Bader, 26 tiba di Tuscany sejak Januari lalu, selepas memperoleh tajaan biasiswa melanjutkan program sarjana di University of Florence.

Bagaimanapun beberapa minggu kemudian, Itali menguatkuasakan sekatan dan penutupan seluruh negara berikutan keadaan COVID-19 merebak dengan cepat, mendorong Bader mencari jalan kembali ke Hebron menerusi Tebing Barat, tempat didiaminya.

Dia dimaklumkan pegawai kedutaan Palestin di Rom sangat responsif, bagaimanapun maklum balas mereka tidak membantu kerana mereka tidak mempunyai maklumat terperinci waktu sebenarnya dia dapat melakukan perjalanan.

Pihak Berkuasa Palestin berkata, seramai 6,000 orang ingin pulang, tetapi logistiknya begitu sukar.

“Mungkin kita satu-satunya negara di dunia yang tidak dapat membawa pulang pelajarnya sendiri dan mereka yang terkandas, kata Perdana Menterinya, Mohammed Shtayyeh pada Selasa lalu.

“Kenapa? Kerana kita tiada lapangan terbang, pesawat dan tidak mengawal sempadan negara. Ini kesakitan sebenar yang kita hadapi,” katanya.

Penduduk Tebing Barat biasanya melakukan perjalanan melalui Jordan, laluan yang lebih mudah daripada mendapatkan kebenaran Israel bagi melalui lapangan terbang Tel Aviv.

Namun Jordan masih menutup pintu sempadan negara dan tidak memaklumkan ia akan dibuka semula, selain Israel mengawal ketat sempadan.

Pasukan ketenteraan Israel yang bertanggungjawab mengawal wilayah Palestin, COGAT, bagaimanapun tidak memberi ulasan apabila ditanya sama ada terbabit dalam usaha penghantaran pulang.

Dalam kalangan rakyat Palestin yang berusaha menuju ke Gaza, kawasan pantai yang diperintah oleh kumpulan Islam Hamas, dilaporkan kira-kira 1,500 orang terkandas di Mesir dibenarkan kembali melalui pintu sempadan Rafah, bulan lalu.

Jumlah yang lebih kecil sudah memasuki kawasan sempadan itu melalui Israel, namun penduduk Palestin yang berada jauh masih terkandas.

Taghreed Darwish dan dua anak perempuannya meninggalkan Gaza pada Februari lalu untuk mengunjungi suaminya di Glasgow, tempat suaminya belajar, dan sejak COVID-19 melanda negara, mereka tidak dapat mencari penerbangan dari Britain ke Mesir.

Susulan lama meninggalkan Gaza, Darwish juga kehilangan pekerjaannya yang mana ia beban serius yang ditanggung kerana kadar pengangguran mencapai 50 peratus di Gaza, menurut angka 2018 dari Bank Dunia.

“Saya adalah ketua keluarga saya di Gaza dan selagi tidak kembali, saya tidak tahu apa nasib kami,” katanya.

Darwish difahamkan, Kementerian luar Palestin tidak dapat bertindak sebagai negara berdaulat, sekali gus mereka perlu menunggu persetujuan dari Mesir dan Jordan untuk penghantaran pulang. 

Sumber: Berita Harian