2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-01-17 at 3.32.29 PM
Uncategorized

800,000 penduduk di utara Gaza berada dalam risiko

Sebanyak tiga agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel supaya menyediakan akses bantuan yang lebih cepat dan mudah di utara Genting Gaza bagi mengelakkan krisis kebuluran dan penularan penyakit yang membawa maut.

Dalam laporan Sinar Harian, desakan itu dinyatakan Program Makanan Sedunia (WFP), Tabung Kecemasan Kanak-kanak PBB (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi kenyataan bersama pada Isnin.

“Pembukaan akses di pelabuhan Ashdod bersempadan utara Gaza amat diperlukan agensi bantuan. Perubahan aliran bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu perlu dilaksanakan segera.

“Keputusan membenarkan agensi bantuan menggunakan pelabuhan itu membolehkan penghantaran bekalan dalam jumlah lebih besar yang kemudiannya dihantar secara terus ke kawasan utara yang terjejas teruk berikutan hanya beberapa konvoi mendapat akses,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Serantau WFP untuk Asia Barat, Corinne Fleischer berkata, mereka berharap lintasan sempadan di utara Gaza dapat dibuka dalam masa terdekat.

“Oleh itu, kami dapat menghantar bantuan kepada penduduk Palestin tanpa sekatan memandangkan krisis makanan semakin buruk di kawasan tersebut,” ujarnya.

Menurut Pejabat Media Gaza, kira-kira 800,000 penduduk di utara enklaf itu kini berada di ambang kematian akibat dasar zalim rejim Zionis yang sengaja membiarkan mereka kelaparan dan kehausan serta diburukkan lagi dengan kempen pengeboman ganas tanpa henti.

“Sebanyak 1,300 trak makanan diperlukan untuk menangani krisis itu termasuk 700 lori penghantaran ke Bandar Gaza,” jelasnya sambil menambah komuniti antarabangsa, Amerika Syarikat (AS) dan rejim Tel Aviv bertanggungjawab penuh terhadap malapetaka dahsyat yang sedang melanda wilayah Gaza.

Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain turut menzahirkan kebimbangan terhadap bekalan makanan yang semakin kehabisan di Gaza.

“Setiap jam yang disia-siakan menyebabkan banyak nyawa terancam. Krisis kebuluran dapat dielakkan jika penghantaran bekalan makanan mencukupi dan agensi terlibat diberikan akses selamat,” jelasnya.