2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-01-17 at 3.33.57 PM
Uncategorized

Krisis air di utara Gaza kian meruncing

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel bertindak kejam menyekat akses kepada misi bantuan yang membawa makanan, ubatan dan bekalan menyelamatkan nyawa lain ke utara Gaza ketika krisis kekurangan air di kawasan itu kian meruncing.

Meninjau laporan Utusan yang dipetik dari Al Jazeera, beberapa agensi PBB turut merayu untuk mendapatkan akses bantuan lebih cepat dan selamat ke utara Gaza ketika penduduknya menghadapi kebuluran dan penularan penyakit.

Kekurangan sumber air bersih di Gaza City dan utara Semenanjung Gaza juga menyaksikan rakyat Palestin berdepan tragedi kemanusian terburuk dalam sejarah dengan keadaan mereka seumpama menunggu hukuman mati.

Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med berkata, penduduk Palestin terpaksa berdepan kesukaran apabila bekalan air di Semenanjung Gaza terputus akibat pengeboman sumber air dan telaga secara sistematik yang disengajakan oleh Israel, selain kekurangan bahan api untuk proses menghasilkan air bersih.

Pertubuhan hak asasi manusia itu memberi amaran kekurangan air minuman di wilayah berkenaan kini menjadi krisis terbesar antara hidup dan mati.

Jelasnya, penduduk ketika ini terpaksa minum air perigi tidak bersih yang hanya menyumbang kepada penyebaran penyakit berjangkit terutamanya di tengah-tengah gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bekalan makanan.

Sebelum pembunuhan beramai-ramai selama 100 hari oleh Israel, Semenanjung Gaza yang merupakan antara kawasan paling padat penduduk di dunia itu sudah mengalami krisis bekalan air minuman bersih.

Takungan utama Gaza City, Al-Balad dan Al-Rimal musnah sepenuhnya hujung minggu lalu dalam operasi jentolak Israel di kawasan itu.

Takungan Al-Balad yang menempatkan telaga air, gudang untuk peralatan penyelenggaraan saluran air dan pejabat pentadbiran untuk jabatan air bandar, manakala Takungan Al-Rimal, merangkumi pejabat jabatan sanitasi dan gudang peralatan penyelenggaraan rangkaian kumbahan.

Menurut Pihak Berkuasa Air Palestin, serangan tentera Israel yang berterusan memusnahkan infrastruktur air di Semenanjung Gaza termasuk sekurang-kurangnya 65 peratus telaga air di Gaza City dan kawasan utara wilayah terkepung itu.

Akibat pengeboman Israel, sekurang-kurangnya 12 telaga di kawasan itu musnah, mengakibatkan krisis air yang melampau dan tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza City.