2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
admin@serantaumuslim.org.my
03-8408 1789
Info Semasa

30 tahun berdepan krisis bekalan air bersih

MARAN- Kira-kira 200 penduduk dan peniaga di arked perniagaan di Pekan Awah di sini berdepan krisis bekalan air bersih sejak 30 tahun kerana kapasiti air disalurkan tidak mencukupi.

Arked perniagaan yang terletak di tepi laluan utama menuju susur keluar ke Plaza Tol Chenor sepatutnya tidak berdepan dengan masalah air. Lebih malang, apabila bil bulanan sebanyak RM20 perlu dibayar sama ada bekalan air ada atau tidak.

Situasi yang menekan itu menyebabkan mereka mendesak kerajaan Pahang dan persekutuan supaya melakukan penyelesaian secara tuntas untuk tempoh jangka masa panjang bagi tangani krisis bekalan air ini.

Seorang peniaga, Azmil Zakuan Ishak, 38, mengakui terpaksa membawa bekalan air dari rumah bagi memastikan urusan perniagaan harian tidak terganggu.

Katanya, itu rutin yang terpaksa dilakukan sejak mulakan perniagaan di Pekan Awah pada 2006.

“Susah kalau tidak bawa air sendiri, jadi mahu tidak mahu kami terpaksa membawa bekalan air dari rumah bagi pelbagai kegunaan seperti membasuh dan mengambil air sembahyang.

“Masalah ini sebenarnya sudah berlanjutan sejak puluhan tahun, jadi, kita minta mereka (pihak berwajib) lakukan sesuatu untuk atasi krisis bekalan air ini,” katanya ketika ditemui di arked perniagaan di Pekan Awah di sini pada Selasa.
Azmil menjelaskan, arked perniagaan ini antara kawasan yang menjadi persinggahan pelancong dan tumpuan orang ramai.

“Bagaimana hendak maju kalau kemudahan asas seperti ini pun gagal ditangani. Itu satu isu.

“Apa guna kami kena bayar RM20 sebulan kalau bekalan macam ini dan pembayaran ini seperti satu penganiayaan. Kami kekal bertahan pun kerana mencari rezeki (berniaga) di sini,” katanya.

Bagi seorang pengusaha kedai makan, Siti Huzaimah Md Omar, 47, berkata, penduduk dan peniaga di kawasan itu sudah penat membuat aduan kepada pihak berkaitan.

Menurutnya, tidak ada tindakan dan langkah penyelesaian yang diambil, sebaliknya membiarkan krisis bekalan air bersih terus berlarutan.

“Saya dah berniaga lebih 10 tahun, sepanjang tempoh itulah masalahnya (tiada air). Bila kami minta tangki, memang mereka bagi tapi masalahnya benda itu (tangki) jauh, tak daya hendak angkut,” katanya.

Sementara itu, peniaga kek, Mohammad Uwais Mohd Adzmi, 41, mengakui sudah lali dengan krisis bekalan air yang seolah-olah tiada penyelesaian.

Justeru, dia meminta pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) segera menyelesaikan masalah ini selepas dilaporkan di media.

“Sebelum ini ada ramai pihak datang termasuk wakil dari pihak SPAN dan PAIP memaklumkan masalah ini akan diselesaikan sebelum bulan puasa tahun lalu, tapi sampai sekarang tidak selesai pun,” ujarnya.

Warga emas OKU, Norihan Ismail, 68, sangat berharap luahan mereka melalui saluran media mendapat perhatian pihak berkenaan.

Norihan berkata, sejak membuka kedai membaiki barangan elektrik lebih 23 tahun, krisis bekalan air di kawasan itu gagal diselesaikan oleh semua pihak.

“Air paip macam itulah, kadang ada kadang tiada, saya hendak cakap pun tidak tahu macam mana. Bila kami telefon pejabat Jabatan Bekalan Air (JBA) mereka senyap dan tidak cakap pun apa punca bekalan air di sini bermasalah.

“Sekarang ada tangki air diletakkan di sini, tapi saya tak larat hendak punggah air, dengan faktor umur. Memang saya tidak daya, jadi tolonglah selesaikan sebab sudah lama sangat masalah ini,” katanya.

Zakaria Talib, 78, turut berharap pihak berkaitan segera menyelesaikan kemelut air di arked perniagaan di Pekan Awah ini dengan segera.

“Cuba bantu kami selesai masalah ini, sudah lebih 20 tahun kami terpaksa berdepan dengan situasi ini.

“Kerajaan Pahang minta prihatin terhadap nasib rakyat di Pekan Awah,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian