2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
admin@serantaumuslim.org.my
03-8408 1789
Info Semasa

Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel

BAITULMUQADDIS: Seorang remaja Palestin berusia 17 tahun maut selepas ditembak tentera Israel dalam pertempuran berhampiran bandar Jenin di Tebing Barat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin dan agensi berita Wafa.

Lapor Al Jazeera, menurut kementerian kesihatan, Mohammed Abu Salah dibunuh di perkampungan Silat al-Harithiya ketika tentera cuba merobohkan rumah seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Jaradat.

Muhammad Jaradat didakwa membunuh seorang warga Israel pada akhir tahun lalu.

Pasukan keselamatan Israel membawa sebuah jentolak tentera dan menghalang laluan keluar masuk kenderaan lain.

Berdasarkan laporan media tempatan, puluhan penduduk Palestin dari kampung, bandar dan pekan berhampiran berjalan kaki menuju ke Silat al-Harithiya sebaik sahaja mendapat tahu mengenai serbuan Israel.

Menurut kementerian kesihatan Palestin, puluhan penduduk mengalami kecederaan akibat terkena peluru hidup dan peluru bersalut getah yang ditembak oleh tentera Israel.

Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan beberapa ambulans dihalang daripada memasuki kawasan kampung itu.

Beberapa saksi mendakwa tentera dan warga Palestin bersenjata berbalas tembakan dalam kejadian itu.

Sementara itu, tentera Israel menerusi kenyataan memaklumkan ratusan warga Palestin membaling batu dan bom petrol ke arah anggota mereka.

Jelasnya, tentera Israel bertindak balas dengan menggunakan ‘kelengkapan penyuraian rusuhan serta menembak individu bersenjata yang dikesannya’. 

Sumber: UM