2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ZIONIS HANYA ‘BIAR DAN PERHATI’ RAKYAT PALESTIN DISERANG PENDUDUK YAHUDI

TEBING BARAT: Kumpulan hak asasi manusia Israel merekodkan sebanyak 451 kes serangan terhadap rakyat Palestin oleh penduduk Yahudi sejak awal tahun lalu.

Menerusi laporan yang dikeluarkan oleh B’Tselem, sebanyak 66 peratus insiden serangan penduduk Yahudi berlaku di Tebing Barat dengan pasukan keselamatan Israel ‘tidak pergi ke lokasi kejadian untuk menghentikan serangan’.

Laporan itu menyebut, sebanyak 170 kes menyaksikan pasukan keselamatan Zionis pergi ke lokasi kejadian, namun mengambil pendirian untuk ‘berdiam diri dan sekadar memerhati’.

Lebih keji, anggota keselamatan ‘akan turut serta’ menyerang penduduk Palestin.

Daripada jumlah keseluruhan, hanya 13 kes menyaksikan pasukan keselamatan Israel menghentikan serangan terhadap penduduk Palestin.

“Penduduk Yahudi yang menyerang rakyat Palestin merupakan satu daripada strategi Zionis untuk terus menguasai bumi Palestin.

“Apabila serangan berlaku dengan kebenaran dan bantuan daripada pihak berkuasa Israel, itu dinamakan sebagai keganasan,” menurut laporan itu.

Insiden serangan penduduk Yahudi terhadap rakyat Palestin dilaporkan semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu dengan golongan petani yang mengusahakan tanaman buah zaitun menjadi sasaran mereka.

Wakil B’Tselem di Tebing Barat, Ghassan Daghlas berkata, kebanyakan serangan yang dilakukan oleh penduduk Yahudi dilihat seperti ‘dirancang dan bukannya kebetulan’.

Pada minggu lalu, sekumpulan penduduk Yahudi merosakkan sejumlah kenderaan di pekan berhampiran Ramallah dan puluhan rakyat Palestin diserang di perkampungan Badwi di selatan Tebing Barat pada September lalu.

Sumber: Utusan