2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
admin@serantaumuslim.org.my
03-8408 1789
Info Semasa

Wabak taun terbesar ragut 7 nyawa di Syria

AMSYIK: Penularan wabak taun terbesar di Syria dalam tempoh 10 tahun meragut tujuh nyawa dan menjangkiti lebih 50 individu, susulan kerosakan pada infrastruktur loji rawatan air.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Syria mengesahkan 53 kes taun dikesan di lima daripada 14 wilayahnya, dengan jangkitan tertinggi direkodkan di Aleppo.

Katanya, tujuh individu maut akibat wabak itu, selepas berlaku dua kematian Isnin lalu.

Kebiasaannya, individu boleh dijangkiti taun menerusi air dan makanan tercemar, yang menyebabkan cirit-birit serta muntah.

Ia boleh menular di kawasan kediaman yang tidak memiliki jaringan pembentungan atau air minuman yang baik.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai risiko amat tinggi terhadap penularan taun di seluruh Syria.

Menurut WHO, penularan taun di Syria ketika ini adalah yang pertama dilaporkan sejak 2009, di mana 342 kes direkodkan ketika itu di wilayah Deir Ezzor dan Raqa.

Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan, perang saudara selama lebih 10 tahun telah merosakkan dua pertiga loji rawatan air, separuh daripada stesen pengepam dan satu pertiga menara air Syria.

Selain itu, hampir separuh penduduk Syria bergantung pada sumber air alternatif yang kebiasaannya tidak selamat, dan sekurang-kurangnya 70 peratus air kumbahan tidak dirawat.

Wabak taun memberi kesan kepada antara 1.3 juta hingga empat juta penduduk dunia setiap tahun, dan meragut antara 21,000 hingga 143,000 nyawa.

Sumber: Berita Harian