Tiga negara tegas tolak rancangan Israel pindahkan penduduk Palestin
Jordan, Mesir dan Palestin, menegaskan mereka menolak sebarang rancangan Israel untuk memindahkan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
Penolakan itu diulangi pada sidang kemuncak tiga hala yang diadakan di Aqaba, Jordan, di mana Raja Abdullah II dari Jordan; Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut menggesa kecaman antarabangsa dan tindakan terhadap rancangan itu.
Menurut laporan Berita Harian, ketiga-tiga negara tersebut menekankan perlunya tekanan berterusan ke atas Israel untuk menghentikan pencerobohan ke atas Gaza dan melindungi orang awam yang tidak bersalah di kawasan itu, demikian menurut kenyataan Mahkamah Hashemite Diraja Jordan.
Sementara itu, Abdel Fattah menggesa ‘pendirian tegas’ masyarakat antarabangsa untuk mendesak gencatan senjata di kawasan yang terkepung dan menjelaskan usaha yang dilakukan Mesir untuk membuka dialog dengan semua pihak berkaitan bagi mencapai persetujuan gencatan senjata di Gaza.
Kenyataan itu berkata, pemimpin terbabit juga menyatakan penolakan sepenuhnya terhadap sebarang percubaan untuk meminggirkan isu Palestin serta memisahkan Gaza dan Tebing Barat, yang kedua-duanya adalah bahagian penting negara Palestin.
Pada sidang kemuncak itu, ketiga-tiga pemimpin berkenaan turut mengulangi kepentingan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan yang mencukupi ke Gaza bagi meredakan situasi kemanusiaan yang teruk di kawasan itu.
Raja Abdullah II, Abdel Fattah dan Mahmoud juga menyuarakan ‘penolakan sepenuhnya terhadap sebarang percubaan untuk menduduki semula bahagian Gaza’, menekankan keperluan membolehkan penduduk Semenanjung Gaza pulang ke rumah mereka.
Melihat permusuhan Israel di Tebing Barat dan pencabulan kesucian Islam serta Kristian di Baitulmaqdis, pemimpin itu juga memberi amaran tindakan sedemikian boleh meningkatkan ketegangan di rantau itu.
Ketiga-tiga ketua negara turut bersetuju untuk terus bekerjasama dalam penyelarasan dengan negara Arab dan berpengaruh bagi mencari pendekatan politik untuk menyelesaikan isu Palestin bagi mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh, berdasarkan penyelesaian dua negara yang memerlukan pemulihan hak yang sah rakyat Palestin.
Ia juga untuk memastikan penubuhan negara merdeka serta berdaulat mereka di sempadan 1967 dan dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Sebelum sidang kemuncak itu, Raja Jordan mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Mesir dan Palestin untuk membincangkan usaha ke arah gencatan senjata segera di Gaza.
Sidang kemuncak Aqaba diadakan ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken sedang dalam lawatan ke Asia Barat berhubung konflik di Gaza.
Beliau setakat ini sudah melawat Turkiye, Greece, Jordan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Israel, Tebing Barat dan Bahrain, dan dijangka mengakhiri perjalanannya dengan singgah di Kaherah pada Khamis.