2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-01-15 at 3.33.48 PM
Uncategorized @ms

Ribuan guru madrasah di India khuatir hilang kerja

Lebih 21,000 orang guru di Uttar Pradesh bakal kehilangan pekerjaan apabila pembiayaan untuk sekolah agama Islam dan madrasah dihentikan di negeri itu.

Menurut dokumen yang dilihat Reuters yang dipetik Utusan, kerajaan persekutuan menghentikan pembiayaan program itu yang dipanggil Skim Untuk Menyediakan Pendidikan Berkualiti di Madrasah pada Mac 2022.

Dokumen daripada Kementerian Hal Ehwal Minoriti menunjukkan, kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi tidak meluluskan cadangan baharu daripada negeri itu di bawah program antara tahun fiskal 2017 dan 2021 sebelum menamatkannya.

Dokumen itu tidak menyatakan sebarang sebab tetapi menurut pegawai kerajaan, ia mungkin kerana undang-undang 2009 yang memastikan pendidikan wajib percuma untuk kanak-kanak meliputi sekolah kerajaan biasa.

Data kerajaan menunjukkan, lebih 70,000 madrasah menerima pembiayaan dalam tempoh enam tahun pertama program itu, yang dimulakan pada 2009 oleh kerajaan terdahulu kendalian parti Kongres.

“Program itu memberi manfaat kepada kanak-kanak Islam dan harus dihidupkan semula.

“Malah perdana menteri mahu kanak-kanak mendapat pendidikan Islam dan moden. Saya sudah bercakap dengan pegawai untuk meminta skim itu dikekalkan,” kata ahli panel kerajaan mengenai institusi pendidikan minoriti, Shahid Akhter.

Ketua Lembaga Pendidikan Madrasah Uttar Pradesh, Iftikhar Ahmed berkata, kerajaan persekutuan memaklumkan pentadbiran negeri untuk menamatkan program itu pada Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, pentadbiran negeri tidak membayar bahagiannya kepada guru-guru sejak April dan memutuskan untuk berhenti mengeluarkan dana sepenuhnya bulan ini, manakala bahagian persekutuan tidak dibayar selama enam tahun.

Kerajaan negeri sebelum ini membayar sehingga 3,000 rupee (RM167.89) sebulan daripada bajetnya sendiri kepada guru mata pelajaran termasuk sains, matematik, pengajian sosial, Hindi dan Inggeris sebagai tambahan kepada 12,000 rupee (RM) daripada kerajaan Persekutuan.

“Kami tidak mempunyai pekerjaan lain dan saya terlalu tua untuk mendapatkan pekerjaan lain,” kata guru madrasah dari daerah Bahraich, Samiullah Khan yang mengajar sejak 14 tahun lalu.

Sementara itu, Assam dilaporkan sudah menukar ratusan madrasah menjadi sekolah konvensional walaupun mendapat bantahan daripada pembangkang dan kumpulan Islam selepas Ketua Menterinya, Himanta Biswa Sarma menggesa semua negeri menghentikan pembiayaan kepada institusi itu.

Banyak madrasah di India dibiayai oleh sumbangan daripada ahli masyarakat Islam manakala yang lain bergantung kepada bantuan kerajaan.