Tawanan warga Israel gesa rejim Zionis hentikan serangan ke atas Hamas
Selepas peperangan berlarutan 100 hari, Hamas semalam, menyiarkan rakaman video tiga tawanan Israel ditahan di Gaza yang menggesa kerajaan mereka menghentikan serangan terhadap kumpulan pejuang Palestin itu.
Meninjau laporan Berita Harian, menerusi rakaman berdurasi 37 saat itu, Hamas menampilkan Noa Argamani, 26; Yossi Sharabi, 53, dan Itai Svirsky, 38, selain ia turut disertakan dengan sari kata elektronik menyatakan: “Nasib mereka akan dimaklumkan esok”.
Terdahulu, Hamas berkata, pihaknya terputus hubungan dengan beberapa tawanan ketika rejim Zionis mengebom Gaza, selain memaklumkan mereka mungkin terbunuh sepanjang siri serangan terbabit.
Pegawai Israel bagaimanapun enggan mengulas mesej awam Hamas berhubung tawanan terbabit, selain menggambarkannya sebagai perang psikologi.
Bercakap kepada televisyen tempatan pada 31 Disember lalu, penyelidik forensik Kementerian Kesihatan Israel, Hagar Mizrahi, berkata bedah siasat ke atas mayat tawanan yang ditemui, mendapati punca kematian tidak konsisten dengan keterangan Hamas yang menyatakan mereka maut akibat serangan udara.
Namun, Israel juga menjelaskan pihaknya maklum mengenai risiko ke atas tawanan susulan serangannya, selain turut mengambil langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Bersenjata utama, Laksamana Muda Daniel Hagari, semalam berkata operasi ketenteraan memerlukan masa, selain pihaknya perlu berhati-hati dan menyesuaikannya mengikut ancaman dan tawanan yang berada di medan peperangan.
Hampir separuh daripada kira-kira 240 tawanan Hamas dibebaskan dalam gencatan senjata pada November lalu, selain Israel menyatakan 132 tebusan lagi masih berada di Gaza dengan 25 daripadanya sudah meninggal dunia ketika dalam tahanan.
Krisis tawanan itu menarik perhatian rakyat Israel yang masih terkesan dengan serangan terburuk dalam sejarah mereka.
Beberapa keluarga tawanan menyeru Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk mengadakan gencatan senjata lain serta menghentikan perang.
Netanyahu bagaimanapun berikrar untuk terus berjuang sehingga Hamas dimusnahkan, yang menurutnya akan membolehkan pembebasan tawanan.
Beliau di parlimen bulan lalu, meminta Beijing membantu membebaskan Argamani, yang mana ibunya, Liora, adalah warga China dan menghidap penyakit tahap akhir dan merayu untuk ditemukan dengan anak perempuannya sebelum meninggal dunia.