Info SemasaKenyataan Media

TAUFAN DI FILIPINA MENYUKARKAN PEMINDAHAN PENDUDUK

MANILA – Taufan kuat membadai kawasan tengah Filipina, hari ini memaksa langkah pemindahan yang rumit dan berisiko membabitkan puluhan ribu orang yang terperangkap di kediaman masing-masing di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

Sekurang-kurangnya 200,000 orang tinggal di kawasan pesisir atau rumah “rapuh” di daerah yang selalu dibadai taufan Vongfong, mampu mengakibatkan tanah runtuh dengan angin kencangnya bersama hujan lebat.

Puluhan juta orang pula hidup di “landasan” taufan itu yang dijangka menuju ke Manila, ibu kota Filipina yang padat dengan populasi penduduk.

Akibat ancaman berkembar membabitkan taufan dan virus pandemik, pusat pemindahan di tengah Filipina cuma boleh menerima separuh kapasiti dan mereka yang diselamatkan mesti memakai topeng muka.

Jumlah orang yang ramai di tambah pula dengan kekangan ruang memaksa pihak berkuasa memohon 47 gereja besar di kawasan terbabit menerima mereka yang terkesan dengan musim pertama taufan itu.

Ketua bencana di wilayah tengah Albay, Cedric Daep, berkata pihaknya terasa terbeban sehingga terpaksa memperluas proses pemindahan ke gereja.

Menurut agensi cuaca kebangsaan, taufan Vongfong mampu menghasilkan angin kencang sekuat 190 kilometer sejam berserta hujan lebat sehingga boleh mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.

Kawasan yang menjadi landasan taufan itu tertakluk di bawah peringkat kuarantin pandemik COVID-19 berbeza-beza.

Masih ramai orang yang tinggal di rumah bagi mengelak penularan jangkitan wabak itu.

Filipina merekodkan 772 kematian dan 11,618 kes jangkitan COVID-19.

Diramalkan, angka itu akan meningkat oleh kerana kekangan ujian.

Taufan dianggap igauan ngeri dalam kalangan warga Filipina kerana bahaya berikutan dalam tempoh setahun, secara puratanya sebanyak 20 ribut dan taufan berlaku di negara kepulauan itu.

Menurut Jabatan Kebajikan Sosial, ribut itu menjadikan jutaan orang di kawasan yang dilanda bencana dalam keadaan kemiskinan berterusan dan kitaran pembangunan semula.

Pada awal Disember, taufan Kammuri yang melanda Filipina merosak dan memusnahkan sebanyak 484,000 kediaman serta menyebabkan lebih daripada satu juta orang melarikan diri.

Dalam satu kajian dijalankan oleh Bank Pembangunan Asia yang berpusat di Manila pada Julai 2019, kejadian ribut paling kerap menyebabkan kejatuhan satu peratus ekonomi Filipina.

Manakala ribut kuat pula mengurangkan output ekonomi hampir tiga peratus.

Taufan “maut” pernah direkodkan di Filipina adalah ‘Super Typhoon Haiyan’ yang mengakibatkan 7,300 maut atau hilang pada 2013. 

Sumber: Berita Harian