2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
ADVOKASIInfo SemasaKenyataan Media

SERANTAU MUSLIM UCAP TAKZIAH KEPADA MANGSA SERANGAN GANAS DI KABUL

Melaka, 15 Mei – Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor hari ini mengucapkan salam takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan ganas di Kabul, Afghanistan.

Serantau Muslim melihat angka kematian kian bertambah dan ia merupakan insiden yang sangat menyayat hati. Serantau Muslim difahamkan berlaku letupan di hospital di Afghanistan dan serangan ganas di majlis pengebumian seorang komander polis di wilayah Nangarhar, timur Afghanistan.

Tindakan pengebom berani mati dan letupan itu telah mengorbankan 40 nyawa semalam, dan hari ini telah meningkat kepada 56 nyawa termasuk seorang kanak-kanak, dua orang bayi, petugas keselamatan dan jururawat.

Paling meyedihkan apabila serangan juga berlaku di hospital bersalin di Afghanistan yang menempatkan wanita yang menerima rawatan dan bayi.

Serantau Muslim kecewa dengan insiden ini kerana ia merupakan tindakan yang tidak wajar berlaku kerana banyak orang awam menjadi mangsa serangan. Walaupun pelbagai dakwaan dilaporkan serangan berlaku akibat pertelagahan antara Taliban dan Daesh, ia tidak harus mengorbankan nyawa orang awam.

Serantau Muslim juga melihat insiden keganasan di Afghanistan semakin meningkat akibat pelbagai krisis, lebih menyukarkan lagi keadaan apabila dunia mengahadapi wabak COVID-19.

Justeru, Serantau Muslim menyeru agar seluruh masyarakat di seluruh dunia sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza dalam pegangan agama dan etnik.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengerusi Serantau Muslim