SEORANG MAUT GEMPA DI FILIPINA
CATAINGAN, FILIPINA – Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.6 pada skala Richter menggegarkan tengah Filipina pada hari ini, mengakibatkan penduduk kehilangan tempat tinggal dan kerosakan bangunan dan jalan raya, sekurang-kurangnya mengorbankan seorang mangsa.
Menurut Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi melanda tenggara Pulau Masbate di wilayah Bicol kira-kira jam 8.03 pagi pada waktu tempatan.
“Setakat ini, terdapat banyak kediaman yang rosak. Ia sangat kuat,” kata Sarjan Antonio Clemente di Cataingan, bandar yang mempunyai kira-kira 50,000 penduduk di kepulauan miskin yang terletak beberapa kilometer di sebelah barat pusat gempa di Laut Samar.
Wartawan stesen radio tempatan, Christopher Decamon berkata, dia melihat petugas penyelamat dan jabatan kecemasan mengeluarkan mayat seorang lelaki dari runtuhan rumah tiga tingkat di pinggir Cataingan.
Isteri lelaki itu bagaimanapun sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
“Gempa bumi kali ini begitu kuat. Ketika itu, petugas kami sedang bersiaran, namun mereka terus berlari keluar meninggalkan bangunan,” kata Decamon kepada AFP menerusi panggilan telefon.
Kemalangan jiwa itu disahkan polis. Sehingga kini, tiada laporan mengenai korban lain, namun usaha mencari dan menyelamat masih giat dijalankan.
Gempa bumi itu berlaku ketika kepulauan itu yang sedang memerangi peningkatan kes COVID-19, iaitu lebih daripada 164,000 jangkitan dikesan dan Filipina sedang melaksanakan kawalan pergerakan yang berbeza-beza di seluruh negara.
Perintah berkurung yang membabitkan kira-kira satu per empat penduduknya termasuk ibu negara Manila, dijangka ditamatkan esok.
Di bandar Palanas di Masbate, ketua polis Kapten Alvin Guerina berkata, beberapa pesakit termasuk seorang wanita hamil yang dijangka melahirkan bayinya, diselamatkan dari hospital sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku gempa bumi susulan.
Setakat ini sekurang-kurangnya 14 gempa bumi susulan direkodkan pejabat seismologi Filipina, dengan paling terkuat dicatatkan pada skala 3.5.
Sebuah video yang disiarkan di Facebook menunjukkan kerosakan kecil di pasar makanan di Cataingan.
Sumber: Berita Harian