2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

SELATAN INDIA, SRI LANKA BERSIAP HADAPI TAUFAN NIVAR

CHENNAI: Kawasan selatan India dan Sri Lanka kini bersiap sedia bagi menghadapi Taufan Nivar yang dijangka membadai bandar pesisir pantai bermula lewat hari ini dan berterusan selama dua hari.

Sejak dua hari lalu, tekanan rendah dikesan di atmosfera di selatan Teluk Benggala, yang juga menjadi petanda bahawa taufan mega itu semakin hampir.

Ini adalah taufan kedua di Teluk Benggala tahun ini selepas dibadai Taufan Amphan Mei lalu, yang turut mengakibatkan kemusnahan teruk.

Menurut Jabatan Meteorogi India (IMD) semalam, taufan berkenaan kini bertambah kuat menjadi ribut yang berpotensi membawa kemusnahan besar-besaran dan berada di lokasi 630 kilometer (km) dekat tenggara Chennai.

“Taufan ini dijangka bergerak ke barat laut dan menyeberangi pesisir pantai Tamil Nadu dan Puducherry antara Karaikal serta Mamallapuram esok,” menurut buletin IMD yang disiarkan pada jam 9.30 pagi semalam.

Selain itu, jabatan cuaca juga mengeluarkan amaran angin kencang akan membadai Andhra Pradesh, Tamil Nadu dan timur laut Sri Lanka ketika taufan berkenaan menghampiri timur pantai dalam tempoh beberapa jam akan datang.

Laluan taufan itu cenderung mengalami ribut kencang yang berupaya memusnahkan harta benda dan membahayakan penduduk setempat.

Tamil Nadu, Puducherry dan Karaikal terus diletakkan dalam tahap amaran merah sebagai langkah berjaga-jaga dengan semua petanda menunjukkan kemungkinan berlaku hujan lebat esok.

Amaran warna jingga dikeluarkan di kawasan Rayalaseema, Telangana, selatan Karnataka dan pesisir pantai Andhra Pradesh, di mana hujan lebat turut diramalkan berlaku semalam dan berterusan sehingga Khamis ini.

Sehubungan itu, nelayan diberi amaran untuk tidak turun ke laut sepanjang tempoh berkenaan.

Sumber: Berita Harian