2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
admin@serantaumuslim.org.my
03-8408 1789
Info Semasa

Pusat beli-belah Syria terbakar, 11 terbunuh.

DAMSYIK: Kebakaran di sebuah pusat beli-belah pada waktu malam di ibu negara Syria, Damsyik, meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa, dalam tragedi terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan.

Kementerian Dalam Negeri Syria memaklumkan, kebakaran itu menyebabkan ‘kerosakan barangan yang teruk’, merosakkan kedai, pakaian, barangan kulit dan kosmetik, yang kebanyakannya mudah terbakar.

“Seramai 11 mangsa maut dalam kebakaran di pusat beli-belah La Mirada dan dua individu berjaya diselamatkan.

“Siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Pertahanan Awam Syria, Ahmad Abbas, berkata kebanyakan yang maut dalam kebakaran itu adalah pengawal keselamatan atau kakitangan yang bertugas pada sebelah malam dalam bangunan enam tingkat itu.

Jelas beliau, punca kebakaran masih tidak diketahui dan sedang disiasat.

Kebakaran di Damsyik kerap berlaku, dengan sebahagian daripadanya berpunca daripada litar pintas manakala sebahagian lagi akibat kaedah pemanasan yang tidak selamat.

Menurut Ahmad, sejumlah 25 jentera bomba dikerah membantu memadamkan kebakaran berkenaan dan mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengawal kebakaran.

“Mereka semua yang maut adalah pengawal keselamatan di pusat beli-belah itu atau kakitangan yang bertugas,” katanya, memaklumkan mangsa maut akibat sesak nafas atau terbakar.

Agensi berita SANA, yang memetik jurucakap Hospital Damsyik, Mohammad Aboulreesh, melaporkan hospital itu menerima tujuh mayat yang teruk terbakar dan identiti mereka masih belum dikenal pasti.