2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-06-21 at 12.45.15 PM
Info Semasa

Perkhidmatan penting hampir lumpuh di Sudan

GENEVA: Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada Isnin memberi amaran perkhidmatan penting di Sudan kini hampir lumpuh, akibat konflik yang berterusan.

“Dua bulan bergelumang konflik, permusuhan di kawasan bandar yang padat penduduk membawa kesan buruk ke atas infrastruktur awam, terutama di Khartoum dan di Darfur dan kawasan sekitarnya.

“Beratus-ratus ribu orang awam di Khartoum sudah berminggu-minggu tanpa bekalan air bersih dan elektrik dan terpaksa berjalan jauh dan membahayakan nyawa untuk mendapatkan perkhidmatan penting,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan ICRC.

Menurut Berita Harian, harga barang yang melambung tinggi serta kekurangan bahan api memburukkan lagi keadaan.

Ketua delegasi ICRC di Sudan, Jean-Christophe Sandoz, berkata tiada kakitangan teknikal di negara itu dapat mengakses infrastruktur awam dengan selamat untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih yang diperlukan.

Keadaan itu mewujudkan kebimbangan wabak penyakit bawaan air bakal melanda semasa musim hujan.

“Sampah tidak dikutip di banyak kawasan kejiranan bandar selama berminggu-minggu dan mayat masih bergelimpangan di kawasan yang sukar diakses,” katanya sambil menambah penduduk tidak mempunyai pilihan, selain menggunakan air minuman yang tidak selamat dari Sungai Nil atau sumber lain.

Selain itu, banyak kemudahan perubatan terpaksa ditutup dan di Khartoum sahaja ICRC menganggarkan hanya 20 peratus kemudahan masih berfungsi dan di banyak kawasan di Darfur, keadaan penyediaan penjagaan kesihatan adalah kritikal.

“Sistem penjagaan kesihatan kini berada dalam tekanan, bukan sahaja untuk merawat sejumlah besar yang cedera, bahkan untuk menyedia perkhidmatan rutin kepada penduduk,” katanya.

Sudan dilanda konflik akibat pertempuran di antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sejak 15 April.

Hampir 1,000 orang awam terbunuh dan beribu-ribu cedera dalam keganasan itu, menurut pegawai perubatan tempatan.