2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PEMIMPIN DUNIA JANJI ‘TIDAK GANGGU’ HUTAN MENJELANG 2030

GLASGOW: Lebih 100 pemimpin dunia berikrar untuk menamatkan penebangan hutan menjelang 2030.

Ia bakal menjadi perjanjian utama pertama dalam Sidang Kemuncak Iklim COP26 yang berlangsung di Glasgow.

Lapor BBC, Brazil yang menempatkan kawasan hutan hujan Amazon menjadi antara negara menyertai perjanjian tersebut.  

Ikrar komitmen itu bernilai AS$ 19.2 bilion (RM79.65 bilion) melibatkan dana awam dan swasta.

Pakar menyambut baik langkah tersebut namun menegaskan perjanjian dimeterai pada 2014 ‘gagal memperlahankan aktiviti penebangan hutan’, justeru komitmen serius perlu dilaksanakan.

Penebangan pokok menyumbang kepada perubahan iklim kerana memusnahkan hutan yang menyerap sejumlah besar gas karbon dioksida.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menyifatkan usaha itu sebagai perjanjian penting untuk melindungi dan memulihkan hutan bumi.

Sidang kemuncak yang berlangsung selama dua minggu di Glasgow disifatkan sebagai amat penting untuk mengawal perubahan iklim dunia ketika ini.

Antara negara yang menandatangani ikrar itu termasuk Kanada, Brazil, Rusia, Indonesia dan Republik Demokratik Congo.

Kesemua negara ini mewakili kira-kira 85 peratus daripada kawasan hutan dunia.

Sebahagian pembiayaan itu akan disalurkan kepada negara-negara membangun untuk memulihkan kawasan tanah terjejas, menangani kebakaran hutan dan menyokong komuniti orang asli.

Sebanyak 28 negara juga akan menyatakan komitmen untuk menghapuskan penebangan hutan daripada perdagangan makanan global dan produk pertanian lain seperti minyak sawit, soya dan koko.

Industri ini juga menyebabkan kemusnahan hutan apabila pokok ditebang untuk memberi ruang kepada haiwan meragut dan tanaman lain tumbuh.

Lebih 30 syarikat terbesar dunia juga akan menyatakan komitmen untuk menamatkan pelaburan dalam aktiviti berkaitan penebangan hutan.

Dana khas berjumlah 1.1 bilion pound (RM6.23 bilion) akan ditubuhkan untuk melindungi hutan hujan tropika kedua paling besar di dunia di Congo Basin.

SIFAR BERSIH 2070

Kebanyakan negara mengemukakan pelan diperbaharui untuk pengurangan pelepasan dikenali sebagai Nationally Determined Contribution (NDC) menjelang COP26.

China mengemukakan NDC yang menyasarkan kemuncak pencemaran karbon sebelum 2030, manakala Perdana Menteri, Narendra Modi, India akan mencapai sasaran sifar pelepasan gas menjelang 2070.

Jelas Modi, sebanyak 50 peratus daripada keperluan tenaga di India akan diperoleh daripada sumber boleh diperbaharui menjelang tahun 2030.

Setakat ini, negara-negara kaya gagal menyediakan dana AS$100 bilion (RM 414 billion) yang dijanjikan setiap tahun bagi membantu negara terdedah iklim untuk menyesuaikan dengan perubahan iklim.

Matlamat yang sepatutnya dikemukakan tahun lalu, ditangguhkan pada 2023, sekali gus memburukkan lagi ketegangan antara negara kaya yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global dan negara lebih miskin menerima implikasinya. 

Sumber: Utusan