2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ISRAEL BEDIL KAWASAN TENTERA DEKAT DAMSYIK

BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara terhadap kawasan ketenteraan Syria yang terletak di pinggir bandar Damsyik, hari ini.

Ia serangan kedua didalangi Israel dalam tempoh empat hari lalu yang menyasarkan beberapa kawasan berdekatan Damsyik.

Serangan pertama pada Sabtu lalu, sekali gus mengaktifkan barisan pertahanan Syria apabila siri peluru berpandu dilancarkan ke kawasan pinggir bandar Damsyik sehingga mencederakan dua anggota tentera.

Tentera Syria menerusi kenyataan yang dilaporkan agensi media tempatan berkata, serangan udara awal pagi tadi dilancarkan dari utara Israel dan menyasarkan kawasan ketenteraan di pekan Zakia, barat pinggir bandar Damsyik, lapor agensi berita ArabNews.

Bagaimanapun, tiada perincian lanjut berhubung serangan itu dikeluarkan.

Israel sebelum ini melancarkan serangan mengejut terhadap Syria lazimnya pada waktu malam, namun tentera Syria berkata, serangan terbaru berlaku selepas waktu tengah malam.

Wujud peningkatan serangan didalangi Israel terhadap Syria sejak kebelakangan ini.

Israel setakat ini mendalangi ratusan serangan yang menyasarkan kawasan tentera dikaitkan dengan Iran di Syria, dalam tempoh beberapa tahun lalu, namun tidak pernah mengakui atau membincangkan perkara terbabit.

Bagaimanapun, Israel mengaku bahawa pihaknya menyasarkan gerakan ketenteraan disokong Iran, seperti kumpulan Hezbollah dengan cubaan untuk melumpuhkan penyeludupan senjata untuk kegunaan pergerakan terbabit.

Hezbollah berjuang bersama pasukan ketenteraan Presiden Syria, Bashar Assad dalam perang saraf.

Israel berkata, kehadiran Iran di penjuru utara negara terbabit mengundang serangan balas, sekali gus menyaksikan beberapa serangan udara dilancarkan terhadap kemudahan yang mendapat sokongan Iran dan konvoi senjata untuk bekalan kumpulan Hezbollah. 

Sumber: Berita Harian