2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2022-11-25 at 2.48.02 PM
Info Semasa

Palestin rugi AS$50 bilion angkara pencerobohan Israel di Tebing Barat – PBB

GENEVA: Sekatan tambahan yang dikenakan ke atas pembangunan Palestin di bahagian diceroboh Israel di Tebing Barat menyebabkan kerugian ekonomi AS$50 bilion (RM228 bilion) antara 2000 hingga 2020, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) mendapati sekatan tambahan di kawasan dekat Tebing Barat dipanggil Kawasan C, dengan lokasi itu kekal di bawah kawalan penuh Israel, menyebabkan perbelanjaan AS$2.5 bilion (RM11.4 bilion) setahun.

UNCTAD, dalam satu laporan berkata, jumlah itu adalah lebih 2.5 kali ganda daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Palestin pada 2020.

Di bawah Perjanjian Oslo 1993, Tebing Barat dibahagikan kepada tiga bahagian pentadbiran, dengan Kawasan A dikawal oleh Pihak Berkuasa Palestin, Kawasan B di bawah pecahan kuasa dan Kawasan C yang juga bahagian terbesar dan membentuk kira-kira 60 peratus wilayah itu, kekal di bawah kawalan Israel sepenuhnya.

Mengikut perjanjian itu, Kawasan C, iaitu satu-satunya bahagian terletak bersebelahan Tebing Barat dan mengandungi tanah paling subur serta sumber semula jadi berharga, sepatutnya dipindahkan secara beransur-ansur ke bawah bidang kuasa Palestin, namun ia tidak berlaku.

Sebaliknya, Kawasan C ketika ini menempatkan kira-kira 400,000 orang peneroka dengan 70 peratus tanah berada di bawah kawalan mereka dengan penduduk Palestin disekat daripada membangunkannya.

“Walaupun beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menekankan perkara yang menyalahi undang-undang ini di bawah undang-undang antarabangsa, penempatan dan pemerolehan wilayah secara paksa terus berkembang, malah diperluas,” kata UNCTAD.

Pada masa sama, menurut laporan itu, akses Palestin ke atas baki 30 peratus Kawasan C, kekal ‘terhad’.

Beberapa sekatan dikenakan di seluruh Tebing Barat, termasuk larangan import bagi teknologi tertentu, syarat permit dan kawalan birokrasi yang ketat, selain pusat pemeriksaan dan sekatan jalan.

Bagaimanapun, laporan itu mendapati kawalan dikenakan di Kawasan C melebihi kawasan lain, dalam usaha Israel untuk meluaskan penaklukan mereka.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, memegang peta menunjukkan sempadan Palestin berdasarkan syor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1947 dan baki wilayah Palestin yang tinggal sekarang, tidak termasuk kawasan yang diceroboh secara haram oleh Israel. 

Sumber: BH