2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
02dd8661-5acc-4be4-8691-282e11cd1c72.jpg
Info Semasa

Palestin gesa tubuh badan antarabangsa tangani pencerobohan Israel

RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye, menggesa badan antarabangsa ditubuhkan bagi menekan Israel menghentikan pencerobohan ke atas wilayah Palestin dan menjayakan rumusan dua negara.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Ishtaye, perkara itu disuarakannya dalam mesyuarat bersama Penolong Setiausaha Negara Kementerian Luar Switzerland serta Ketua Jabatan Afrika Utara dan Asia Barat, Maya Tissafi.

“Penubuhan barisan antarabangsa bagi memberi tekanan kepada pencerobohan Israel amat penting,” katanya, selain meminta Switzerland mengiktiraf Palestin.

Beliau turut menggesa Switzerland dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Israel supaya akur dan menghormati perjanjian keamanan yang ditandatangani serta menghentikan semua tindakan serta pelanggaran di wilayah Palestin.

“Menyediakan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin adalah perkara penting,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Ishtaye dan Tissafi turut mengadakan perbincangan bagi memperkasakan hubungan dua hala antara Palestin dan Switzerland.

Mereka menekankan kepentingan penyelarasan bersama bagi menyokong Palestin dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

Sementara itu, dalam wawancara bersama stesen televisyen tempatan, Ishtaye berkata Kesatuan Eropah (EU) dijangka mengadakan undian bagi meneruskan bantuan kepada rakyat Palestin.

Katanya, seramai 23 Menteri Luar Eropah meminta EU meneruskan bantuan kepada Palestin tanpa sebarang syarat.

“Kami berharap undian itu akan menghasilkan keputusan yang memuaskan berhubung bantuan yang kami tidak terima sejak tahun 2021,” katanya.

Sumber: BH