2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
63d78cec-4c8d-430f-aafc-a997d1d4eabd.jpg
Info Semasa

Kanak-kanak dibunuh, diseksa junta Myanmar – pakar PBB

YANGON: Puluhan kanak-kanak terbunuh di Myanmar sejak rampasan kuasa tahun lalu, bukan saja dalam pertempuran akibat konflik tetapi sebagai sasaran yang disengajakan oleh tentera.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Andrews, hari ini mendedahkan junta tentera Myanmar menyasarkan kanak-kanak dengan niat menyebabkan mereka mengalami penderitaan yang dahsyat.

Menurut laporan beliau, yang juga pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar, kanak-kanak bawah umur dipukul dan ditikam selain kuku atau gigi mereka dicabut ketika disoal siasat.

“Malah, ada sesetengahnya didera kononnya akan berdepan hukuman mati jika tidak mematuhi arahan junta tentera.

“Serangan berterusan junta terhadap kanak-kanak menunjukkan mereka sengaja menyebabkan penderitaan dahsyat kepada mangsa yang tidak bersalah dalam percubaan untuk menundukkan rakyat.

“Serangan junta terhadap kanak-kanak adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang,” katanya.

Junta berulang kali meluahkan kemarahan terhadap PBB dan negara Barat kerana campur tangan mereka dan menolak dakwaan melakukan tindakan kekejaman terhadap orang awam.

Berdasarkan maklumat agensi PBB, kumpulan kemanusiaan dan hak asasi manusia serta pertubuhan masyarakat sivil, laporan itu mendedahkan 250,000 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran.

Pada masa sama, sekurang-kurangnya 382 orang terbunuh atau cacat, termasuk melalui serangan udara atau artileri berat.

Menurut laporan yang didedahkan Adrews, PBB menerima maklumat mengenai 142 kanak-kanak yang diseksa oleh tentera, polis dan militan pro-tentera.

Selain itu, terdapat laporan sampingan mengenai peningkatan dalam pengambilan buruh kanak-kanak, termasuk oleh pejuang anti-junta.

Andrews berkata, dunia harus mengambil tindakan yang diselaraskan bersama untuk menyekat junta dari segi kewangan dan terus komited untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata, anggota PBB mesti bertindak balas terhadap krisis di Myanmar secara pantas lagi tuntas, sama seperti yang dilakukan terhadap krisis di Ukraine.

Sumber: BH