2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-07-03 at 11.36.31 AM
Info Semasa

OIC desak cegah pembakaran al-Quran

JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa langkah kolektif dilaksanakan bagi mengelakkan insiden pembakaran al-Quran berlaku lagi pada masa depan.

OIC mengadakan mesyuarat tergempar susulan insiden yang membabitkan seorang warga Iraq yang tinggal di Sweden, iaitu Salwan Momika, 37, yang bertindak mengoyak dan membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm iaitu hari pertama cuti perayaan Aidiladha bagi umat Islam, lapor Berita Harian.

OIC juga menggesa negara anggota untuk mengambil langkah bersatu dan kolektif bagi mencegah berulangnya insiden mencemarkan al-Quran.

Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha, berkata pihaknya menegaskan keperluan untuk menghantar mesej yang jelas bahawa perbuatan mencemarkan al-Quran bukan satu insiden Islamofobia biasa.

“Kita mesti menghantar peringatan berterusan kepada masyarakat antarabangsa mengenai penggunaan segera undang-undang antarabangsa yang jelas melarang sebarang advokasi kebencian agama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mengutuk tindakan pembakaran al-Quran berkenaan dan menyifatkan insiden terbabit sebagai tindakan keji.

Negara anggota OIC termasuk Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi sudah memanggil duta mereka di Sweden sebagai tanda protes terhadap insiden terbabit.

Sebelum ini, polis Sweden memberikan Salwan permit selaras dengan perlindungan hak kebebasan bersuara, bagaimanapun pihak berkuasa Sweden kemudiannya mendakwa mereka membuka siasatan terhadap insiden terbabit.