2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-26 at 3.44.15 PM
Uncategorized

MyAqsa komited bawa banyak lagi kes kekejaman Israel ke ICJ

Tanggal 22 Februari lalu adalah antara hari bersejarah yang membanggakan bagi Malaysia dalam mengheret rejim Zionis ke muka pengadilan. Israel sejak 1948 menduduki bumi Palestin secara haram, sekali gus melakukan pelbagai penindasan dan pencabulan hak asasi manusia ke atas rakyat Palestin tanpa dihukum.

Akibat dilindungi kuasa besar Amerika Syarikat (AS), Israel terus berani melakukan genosid, pembunuhan beramai-ramai, pengusiran besar-besaran, penghapusan etnik dan pemusnahan kediaman penduduk serta kemudahan awam paling buruk dalam sejarah moden dunia.

Jadi apabila Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berdiri di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis lalu dengan menyatakan satu persatu perlanggaran dan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel, ia satu peristiwa amat membanggakan bagi rakyat Malaysia.

Hakikatnya, kita tidak lagi boleh menerima kezaliman dan penindasan kejam Israel yang selalu dilindungi dan didokong AS. Kuasa besar itu dengan sekutu dan media perdana antarabangsanya cuba memperdayakan warga dunia dengan memutarbelitkan keganasan Zionis itu sebagai tidak salah dan betul. Kini giliran ICJ pula untuk menyatakan dengan jelas tanpa dipertikaikan lagi satu persatu kesalahan Israel, sekali gus menidakkan naratif putar belit rejim itu dan AS.

Skop kes dibawa Malaysia lebih luas

Sebenarnya, kes yang Malaysia terbabit ini berlainan daripada kes yang pernah dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di mahkamah sama. Ini kerana kes dikemukakan negara yang pernah melalui era aparteid itu, tertumpu kepada perlanggaran Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Kes yang Malaysia terbabit kali ini pula adalah lebih luas lagi skopnya kerana ia merangkumi segala polisi dan undang-undang yang sudah serta kini diamalkan Israel di bumi Palestin yang menidakkan hak Palestin untuk mendirikan negara mereka. Tidak seperti kes Afrika Selatan, kes yang kita terbabit adalah terhasil daripada resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bertarikh 30 Disember 2022.

Menerusi resolusi ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta ICJ mengeluarkan pandangan undang-undang (advisory opinion) mengenai kesan undang-undang terhadap polisi dan undang-undang yang diamalkan atau ditadbir Israel ke atas tanah Palestin diduduki rejim terbabit.

Mahkamah kemudian membuka peluang kepada negara lain untuk mengemukakan pandangan dan hujah masing-masing. Hasilnya, sebanyak 52 negara dan beberapa organisasi antarabangsa mengemukakan hujah bertulis.

Bermula 19 Februari lalu, negara ini diberikan peluang untuk mengemukakan hujah lisan di hadapan 15 hakim ICJ. Palestin pastinya menjadi negara membuka tirai pembentangan hujah lisan, manakala 22 Februari lalu pula tiba giliran Malaysia pula mengemukakan hujahnya.

Mungkin ada individu atau pihak yang akan membangkitkan sejauh mana keberkesanan kes ini memandangkan pelaksanaan mana-mana keputusan ICJ bergantung kepada Majlis Keselamatan PBB dengan AS selalu menyalahgunakan kuasa vetonya melindungi rejim Israel.

Apatah lagi kes ini hanyalah pandangan undang-undang ICJ yang tidak mengikat mana-mana negara yang dihadapkan kepadanya. Namun, pandangan undang-undang ICJ sebeginilah yang amat perlu dan berguna bagi perjuangan Palestin.

Ini kerana ia akan menyatakan dengan jelas segala perlanggaran undang-undang antarabangsa Israel yang tidak boleh lagi dipertikaikan rejim itu sendiri dan AS, sekali gus pandangan ini akan dihormati badan yang ada di bawah PBB.

Berbalik kepada kes ini, hujah bertulis sudah disediakan dengan begitu baik oleh Pejabat Peguam Negara dan dikemukakan tahun lalu. Bagi hujah lisan, Wisma Putra buat julung kalinya menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyAqsa untuk memberi pandangan dan maklum balas.

Kami daripada MyAqsa dengan itu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Luar dan Wisma Putra atas jemputan ini. Justeru, kami melantik Prof Datuk Mohammad Rahmat, selalu ketua undang-undang MyAqsa dan seorang profesor dan pakar undang-undang antarabangsa untuk mengetuai pasukan MyAqsa kali ini.

Hakikatnya, di sebalik kes yang Malaysia terbabit kali ini berlainan dengan kes genosid dibawa Afrika Selatan, kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain dalam membawa Israel ke muka pengadilan.

Waktu kes ini dibawa ke mahkamah pun cukup baik kerana hakim di mahkamah perlu mempertimbangkan kedua-dua kes berkaitan pada masa sama. Malah, banyak lagi kes terhadap Israel sebegini perlu dibawa ke muka pengadilan.

MyAqsa sendiri komited membawa banyak kes lagi terhadap Israel, termasuk melalui ICJ. Dengan kerjasama semua pihak baik daripada kerajaan dan awam, kami berharap hasrat mulia ini terus tercapai.

Sumber: Berita Harian