2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

MALAYSIA BAKAL HARAM ROKOK ELEKTRONIK DI SEKOLAH

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dijangka memperkenalkan larangan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan murid sekolah menerusi peraturan kawalan yang jauh lebih tegas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu, Malaysia akan mencontohi pelbagai negara lain yang sudah melaksanakan undang-undang kawal selia produk tersebut.

“Malaysia dengan ini menzahirkan hasrat untuk menyertai beberapa negara yang sudah mengekang sistem penyampaian nikotin elektronik atau ENDS bagi murid sekolah,” tegasnya. 

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Sesi ke-72 Mesyuarat Jawatankuasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Rantau Pasifik Barat di Himeji, Jepun, semalam.

Teks penuh ucapan beliau tersebut ketika membahaskan Agenda Bilangan Ke-11 yang bertajuk Kesihatan Sekolah itu turut diterbitkan oleh ibu pejabat Kementerian Kesihatan di sini.

ENDS yang mula diperkenalkan seorang jurufarmasi bernama Hin Lik di China pada 2003 lalu ketika itu bertujuan menggantikan rokok diperbuat tembakau bagi menangani isu ketagihan.

Namun kajian WHO serta Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) di Amerika Syarikat (AS) pada 2016 lalu menyangkal teori itu serta disokong Organisasi Respiratori Eropah pada 2019.

Penyelidikan terbaharu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di AS sendiri malah menasihatkan pengguna agar mengelak rokok elektronik kerana kesan buruk jangka panjang.

Mengulas lebih lanjut, Khairy berkata, pengharaman ENDS di Malaysia perlu diperkasakan terutama di kawasan sekolah berasrama peringkat menengah sebagai bentuk disiplin tegas.

“Malaysia akan mempertingkatkan isu kempen kawalan tembakau bagi mempromosikan gaya hidup sihat pelajar termasuk menyekat akses sebarang produk ENDS ke sekolah,” katanya.

Dianggarkan ketika ini hanya 4.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas merupakan perokok tegar dan trend semasa menyaksikan penurunan sekitar 20 peratus pada setiap tahun.

Ia susulan langkah tegas diambil Kementerian Kesihatan mewartakan 23 lagi zon larangan merokok mulai awal 2019 lalu di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan 2018).

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pembukaan semula sekolah bagi mengelak kanak-kanak terjejas kesihatan mental selepas dunia beralih kepada fasa endemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau menyeru dunia memastikan pengagihan bekalan vaksin yang adil agar semua kanak-kanak bawah 12 tahun menerima imunisasi dan belajar dengan lebih selamat.

“Janganlah diulangi isu jurang besar vaksin yang diterima tidak seimbang waima masih lagi dapat disaksikan sehingga kini kerana ia akan menjejaskan proses persekolahan,” katanya.

Khairy menambah, penutupan operasi sekolah yang begitu lama kerana isu kebimbangan Covid-19 sepatutnya tidak lagi berlaku dan menafikan hak kanak-kanak menikmati pelajaran.

Justeru, beliau memuji usaha WHO melabur dalam penyediaan sokongan sistem pendidikan persekitaran selamat di negara-negara miskin yang terkesan akibat impak wabak berkenaan.

Sumber: Utusan