2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

KANAK-KANAK ROHINGYA DI COX’S BAZAR BAKAL IKUTI KURIKULUM MYANMAR

DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersiap siaga untuk memperkenalkan pendidikan formal menggunakan kurikulum Myanmar, untuk ratusan ribu kanak-kanak Rohingya di kem pelarian Cox’s Bazar.

Ketika ini, kanak-kanak terbabit menghadiri 6,250 pusat pembelajaran tidak rasmi dikendalikan oleh agensi PBB bersama rakan bantuan di 34 kem di Cox’s Bazar, yang menyediakan pendidikan asas kepada lebih 354,000 murid.

Menurut laporan Arab News, hari ini, Kerajaan Bangladesh pada Januari 2020 bersetuju dengan PBB bahawa kanak-kanak Rohingya harus diberi pendidikan Myanmar, sebagai persediaan untuk mereka kembali ke tanah air kelak.

Selepas tergendala akibat pelaksanaan perintah berkurung susulan pandemik COVID-19, program rintis itu kini bersedia untuk dilancarkan, sejajar pembukaan semula sekolah di Bangladesh pada bulan lalu.

Jurucakap agensi pelarian bawah PBB di Cox’s Bazar, Regina de la Portilla memberitahu Arab News, baru-baru ini: “Kurikulum Myanmar akan diperkenalkan di pusat pembelajaran, sebagaimana diminta Kerajaan Bangladesh, dengan matlamat supaya kanak-kanak terbabit boleh kembali mengikuti pendidikan apabila mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat dan sukarela nanti. Persediaan telah siap untuk melaksanakan usaha rintis itu.”

Dalam pada itu, Kementerian Luar menjangka program berkenaan dilancarkan, tidak lama lagi.

“Kami telah membuat beberapa pemerhatian dalam kurikulum bagi menerapkan budaya Myanmar.

“Objektif kami ialah menyediakan mereka untuk berintegrasi dengan masyarakat Myanmar apabila pulang kelak,” kata seorang pegawai kementerian itu yang enggan dikenali.

Organisasi pembangunan terbesar berpangkalan di Bangladesh, BRAC yang mengendalikan pusat pembelajaran untuk kira-kira 65,000 kanak-kanak Rohingya di Cox’s Bazar, merancang untuk mengajar mereka dalam bahasa utama Myanmar, iaitu bahasa Burma.

“Guru di pusat pembelajaran kami sudah menerima latihan asas, namun belum dilatih untuk kurikulum baharu itu.

“Buat masa ini, kami mengikut pendekatan serta rangka kerja kecekapan pembelajaran, iaitu satu garis panduan yang diluluskan kerajaan untuk sistem pendidikan tidak formal. Secara beransur-ansur, rangka kerja itu akan dimasukkan ke dalam kurikulum Myanmar,” kata Ketua Program Pendidikan BRAC di Cox’s Bazar, Khan Mohammed Ferdous kepada Arab News. 

Sumber: Berita Harian